Santai: Menjawab Komen

Menjawab Komen Pembaca IIUMC (Cerita Dari Hospital Sakit Jiwa II)

Hujan kerap kali bertandang minggu-minggu kebelakangan ini. Air bertakung di lopak-lopak di sana sini. Belum sempat lopak-lopak ini kering, hujan jatuh lagi.

Hari ini hari pertama hujan tidak turun setelah berminggu-minggu. Hari ini matahari bersinar terang dan terik. Baru hari ini fikiranku sedikit lapang.

Baru hari ini ku baca komen-komen yang ditinggalkan di coretan ku yang lalu. Ku baca satu-satu, ku fikirkan dalam-dalam.

Aku akui, bukan mudah untuk aku bercerita semula tentang kisah lampau. Aku takut luka yang sudah ku tutup itu berdarah kembali. Aku tahu luka itu perlu dirawat dan dibalut, tapi aku hanya mampu menutupnya agar ia tidak kelihatan. Mungkin silapku di situ.

Aku gembira mendengar cadangan dari pembaca agar aku menjadikan Ramadhan dan Syawal sebagai matlamat hidupku. Terima kasih semua. Sudah lama aku tiada matlamat hidup kerana dunia seperti sudah tiada indahnya. Bukankah memang akhiratlah matlamat sebenar setiap dari kita?

Ramai juga yang menasihatkan aku untuk menangis semahu-mahunya ketika sujud kepada-Nya. Aku sudah cuba. Entah kenapa sukar untuk aku menangis bersungguh-sungguh. Kadangkala air mata sudah keluar, namun ada sesuatu dalam hatiku yang menghalang untuk aku terus menangis.

Di waktu kecil, ibuku paling tidak suka melihat orang menangis. Semakin kuat menangis, semakin kuat sebatan hinggap di punggungku. Jadi aku terbiasa menahan tangisku. Jika ada air mata yang jatuh, tidak akan ku lap kering, kubiarkan ia kering sendiri. Aku tak mahu ibuku tahu aku menangis. Aku seperti terbawa-bawa sehingga kini.

Bukan aku tak pernah menangis. Kadang-kadang aku menangis teresak-esak tanpa aku sendiri dapat jangka. Pada suatu malam di bulan September tahun lalu, aku memasang sebuah lagu. Secara tiba-tiba seperti ada sesuatu yang membekam dari dalam hati seperti ingin keluar dan secara spontan aku terus menangis semahu-mahunya sehingga aku terbatuk-batuk.

Komen-komen pembaca juga membuatkan aku mengalirkan air mata. Terasa seperti diri ini tidak keseorangan. Walau kita tidak saling mengenali, tinggi ku junjungkan kalian.

Mungkin benar aku perlu berhijrah ke tempat lain. Bukan aku tak pernah berhijrah, sedari usia remaja aku telah tinggal di asrama jauh dari keluarga. Kemudian aku menyambung pelajaran, juga jauh dari keluarga. Selepas itu aku tinggal di beberapa tempat yang berbeza yang juga jauh dari keluarga.

Disebabkan masalah kesihatan yang semakin merosot, aku akhirnya kembali ke pangkuan keluarga. Banyak perkara yang telah berubah tentang keluarga dan ibuku. Ku sangkakan aku telah dapat menerima semuanya dengan hati yang lebih tenang dan terbuka. Aku tiada lagi dendam pada sesiapa. Ku sangkakan aku telah berjaya menangani dan melupakan apa yang berlaku di masa lalu. Mungkin aku silap. Mungkin sungguhpun kemaafan itu telah ku berikan, tapi luka itu masih terkesan dan masih bersisa di dalam.

Mungkin aku perlu meneroka dunia baru. Berjumpa orang baru dalam suasana yang baru. Melakukan perkara yang aku takut untuk lakukan. Keluar dari zon selesa yang memisahkan aku dengan kebahagiaan.

Ada pembaca yang bertanya kenapa aku perlu ingatkan kembali memori silam dan melayan nostalgia lampau. Sebenarnya bukan aku yang sengaja ingin mengingati semua itu. Bila fasa “melankolia nostalgia” itu hadir, ia hadir tanpa kemahuanku. Ia hadir tanpa aku dapat mengawalnya. Biasanya ia hadir bila aku merasa amat sedih dan tertekan. Kadang-kadang ia hadir tanpa sebab yang jelas. Biasanya aku akan cuba abaikan dan buat-buat tak tahu pada perasaan ini, tapi hari ke hari ia akan menjadi semakin kuat sehingga aku tak dapat melawannya dan akhirnya hanyut dalam arus nostalgia itu.

Ada pembaca yang menasihati agar aku tidak membenci Tuhan. Aku tidak membenci-Nya. Suatu masa dulu aku pernah menyalahkan Dia, menyalahkan takdir yang ditentukan oleh-Nya. Aku pernah berputus asa untuk berdoa dan memohon dari-Nya.

Tapi kehidupan tanpa-Nya adalah kehidupan yang paling gelap dan ngeri. Aku memerlukan Tuhan di sisiku. Aku masih mahu berdoa dan sujud pada-Nya.

Ada beberapa pembaca yang memberikan aku beberapa panduan dan cabaran untuk ku laksanakan. Insya-Allah akan ku cuba. Jika masa mengizinkan, mungkin akan ku tulis mengenai cabaran-cabaran itu pula.

Aku akan terus menulis selagi aku mampu, selagi akalku masih ada kewarasan. Terima kasih yang sudi membaca dan memberikan kata-kata semangat untuk aku terus menulis dan bertahan.

Terima kasih semua.

Untuk baca komen-komen yang ku sebutkan ini di laman Facebook IIUM Confessions, boleh klik di sini.

2 komen / Tulis komen anda di bawah

  1. maafkan aku andai komen ini tidak membantu. kalau benar masaalah dan perasaan kita sama…masaalah kita adalah sukar melupakan kenangan pahit kita…meninggalkan tanpa jejak dan mencipta kenangan baru yang lebih indah. Bila kita mula nak keluar dari kepompong kita akan ada bisikan yang cuba mengembalikan kita kepada ketakutan, kenangan pahit kita, kesedihan lampau menyebabkan kita kembali kesudut gelap kita. Aku doakan Allah bantu kau keluar dari penjara emosi itu. Allah beri kita ruang atas bumi ini..meskipun pelbagai kesukaran kesakitan kita dah lalui..tapi bila siang menjelma kita masih Allah beri peluang lihat matahari sedangkan kita harap bulan malam tadi adalah yang terakhir kita lihat. Allah x beri apa yang kita mahu..tapi Allah sedang beri apa yang kita perlukan. ‘Acceptance’ itulah yang kita kena buat. marilah kita melangkah walaupun terpaksa menyeret kaki. walaupun hati x rela tapi teruskan. berjalan hingga ke destinasi ‘akhir’ yang telah Allah tentukan. moga Allah beri kita kekuatan.

    1. Ya, itulah masalahnya, kenangan lalu tu macam kita tak boleh lepaskan sepenuhnya, dia sentiasa ada je berlegar2 di setiap sudut. Kita sangka kita dah moved on tapi sebenarnya masih tak sepenuhnya. Terima kasih di atas nasihat. Moga kita sama2 terus kuat ya, insya-Allah. Hugs.

Tulis Komen Anda

Alamat emel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi semua yang bertanda bintang.