Assalamualaikum dunia.
Kerap kali aku mendengar dan terlihat luahan orang yang kecewa apabila hari lahir mereka tidak disambut oleh ahli keluarga dan sahabat handai. Atau apabila tiada siapa yang mengucapkan selamat hari lahir kepada mereka. Ini membuatkan aku terfikir, betapa pentingnya sambutan hari lahir pada kebanyakan orang. Betapa istimewanya sebuah ulangtahun hari lahir itu di hati kebanyakan orang. Lalu aku teringat pula dengan hari lahirku sendiri.
Di waktu kecil, ada seorang sepupuku yang hari lahirnya selalu disambut dengan meriah oleh ibu bapanya. Rumahnya tidak begitu jauh dari rumahku. Setiap kali sambutan hari lahirnya, kami dijemput ke rumahnya untuk sama-sama meraikan.
Pelbagai juadah menjadi hidangan, termasuk kek yang besar-besar. Aku akan membawa hadiah yang telah siap dibalut. Ada satu meja tempat untuk tetamu letakkan hadiah. Di penghujung majlis, sepupuku akan membuka hadiah-hadiah ini di hadapan tetamu. Seronok melihat dia mengagak apa isi kandungan tiap kotak hadiah itu.
Selalu aku berfikir, kenapa aku dan adik beradikku tidak pernah ada sambutan hari lahir sebegini?
Kadangkala ada ucapan selamat hari lahir dari ibu dan ayahku, kadangkala tiada. Kadangkala ayahku akan memberi wang sepuluh ringgit sebagai hadiah hari lahir, kadangkala tiada. Kadangkala ibuku akan buatkan bubur putih bubur merah sempena hari lahir kami, kadangkala tiada.
Oleh kerana seringkali tiada, aku dan adik-beradik tidak berharap. Hari lahir datang dan pergi seperti tiada istimewanya. Secara tidak sedar, aku juga perlahan-lahan mula tidak mengendahkan hari lahirku sendiri. Kadangkala aku sendiri terlupa hari tersebut ialah hari lahirku.
Ketika aku bersekolah asrama, hari lahir adalah hari yang paling ditakuti. Kerana pada hari lahir seseorang itu, mereka akan diragging oleh pelajar senior dan kawan-kawan. Budaya ini telah diamalkan di sekolah itu berpuluh-puluh tahun.
Pagi-pagi bangun sahaja dari tidur sudah berdebar-debar memikirkan apakah yang pelajar senior atau kawan-kawan akan pedajal kita hari itu. Tengah kita syok mandi sambil bersyampu, tiba-tiba air rendaman kain baju yang busuk dicurahkan dari atas dari bilik air sebelah.
Pernah ku lihat seorang pelajar senior dibaling telur bertalu-talu pada hari lahirnya dari pagi sampai ke malam. Asal ada sahaja peluang, asal terlihat sahaja kelibatnya, habis dia dibaling telur berbiji-biji. Sehingga satu blok asrama berbau hanyir telur. Asam garam kehidupan di asrama.
Oleh sebab itu, ketika di tingkatan lima, apabila kawan-kawanku mengadakan kejutan sambutan hari lahirku yang ke-17, aku begitu terkejut. Kemudian datang pula rasa terharu. Rupanya mereka sudah merancang selama beberapa hari.
Semenjak itu, aku merasa seronok merancang kejutan sambutan hari lahir untuk orang lain. Seronok melihat keterujaan di wajah orang yang diraikan.
Namun begitu, semakin lama, timbul pula perasaan berharap dan rasa kecewa bila hari lahir sendiri tidak disambut oleh orang lain. Untuk melindungi diriku dari perasaan kecewa ini, aku semakin berkurang merancang sambutan hari lahir orang. Tanpa aku sedar, secara perlahan-lahan aku kembali kepada aku yang dulu, tidak mengendahkan hari lahirku sendiri, tidak juga mengendahkan hari lahir orang lain. Hari lahir menjadi hari biasa sama seperti hari-hari lain.
Hanya beberapa tahun kebelakangan ini aku mula meraikan hari lahirku sendiri tanpa mengharapkan sambutan atau ucapan dari sesiapa. Ia tidak penting bagi orang lain, tapi bukankah ia tetap hari yang penting buatku?
Tidak perlu sambutan yang besar-besar, cukuplah sekadar membeli sepotong kek dan mengucapkan selamat hari lahir kepada diri sendiri. Ingatkan diri kita perkara yang indah-indah yang pernah berlaku dalam hidup kita, meskipun yang kita sedang harungi tika dan saat ini ialah keperitan. Kita berhak untuk mengingati hari-hari indah itu.
Oleh itu, untuk anda yang menyambut ulang tahun hari lahir anda pada hari ini, hari semalam, atau hari esok, “Selamat Hari Lahir” ku ucapkan. Untuk anda yang merasakan tiada siapa yang mengingati hari lahir anda, sekali lagi ku ucapkan, Selamat Hari Lahir.
Selamat hari jadi.
Happy birthday.
Tanjobi omedeto.
Hari ini hari istimewa anda, senyumlah!
Macam kau..kisah kecil aku hampir sama…aku pernah doa pada Allah jadi kan aku orang yang xde perasaan sedih supaya aku boleh ikut sahaja cakap ibu dan ayah aku asalkan mereka gembira dan puas hati dengan tindakan aku. aku juga selalu harap aku x ingat birthday aku. dan tak rasa sedih kalau aku x dihargai. aku ingin jadi robot yang menggembirakan orang tanpa orang rasa benci atau tak senang pada aku. aku benci kadangkala melihat orang sambut birthday tayang saat2 gembira potong kek. aku benci.. tapi baru2 ni aku cuba ubat hati aku.. masa bday aku aku bawak kawan aku gi SR belanja dia makan..aku cakap sempena bday aku , aku nak belanja dia..lepastu aku jadi happy. aku rasa sebab aku tgok kawan aku happy ada orang belanja dia. aku cuba tanamkan dalam hati aku..gembira bukan masa aku dapat. tapi masa aku beri. Moga kau terus kuat.
Ya, kita sama. Rasa macam lega ada orang lain yg rasa apa yg aku rasa. Terima kasih berkongsi cara kau gembirakan diri kau waktu birthday. Betul kata kau, gembira patutnya masa kita memberi, bukan masa kita dapat. Terima kasih sekali lagi, sahabat.
Aku lagi la pulak….tak pernah rasa sambut hari jadi…kadang2 camburu juga….dan sehingga la aku dipertemukan seserong…namun ucapan ada….dan juga hadiah ada…pun da bermakna hariku….tapi dia punya cara x la seberia macam aku😮💨Ntah la …kadang2 rasa nk sambut untuk diri aku seorang diri dengan ada satu tempat yang tiada siapa2…agar mereka xnmpk sambut seorang diri…..ermm…