Ada apa dengan mimpi? Orang kata mimpi ialah mainan tidur. Ada yang kata, mimpi ialah mainan syaitan. Aku bukan pakar mimpi seperti Freud dan Jung, aku cuma rasa nak bercerita fasal mimpi.
Mungkin tidak salah jika aku katakan semua orang pernah bermimpi buruk dan ngeri. Mimpi yang boleh buat si pemimpi berpeluh-peluh, atau mungkin berdebar-debar. Mimpi yang bila terjaga dari tidurnya, terus si pemimpi rasa lega yang itu hanya sekadar mimpi. Pernah, kan?
Kadang-kadang ada orang mimpi hantu, ada yang mimpi terlambat sampai ke dewan peperiksaan, mimpi tak bersedia untuk peperiksaan tapi tiba-tiba sudah menghadap kertas periksa dan tak dapat menjawab soalan-soalan peperiksaan.
Aku kerap juga bermimpi buruk, terutama apabila ubatku ditukar atau dosnya dinaikkan dan diturunkan. Ini kesan sampingan yang biasa daripada ubat-ubat ini sehingga aku sudah agak terbiasa dengan mimpi-mimpi yang luar biasa. Tapi bila ia terjadi berlebih dari biasa, aku juga terkejut.
Baru-baru ini, iaitu kira-kira 2 minggu yang lalu, dos ubat ku dinaikkan. Maka tidurku mula dihiasi oleh mimpi yang dahsyat-dahsyat semula.
Dahsyat bagaimana?
Pertamanya, mimpi-mimpi itu amat terperinci. Setiap benda dalam mimpi itu mempunyai perincian yang tinggi. Contohnya air laut di dalam mimpi itu terlihat jelas warnanya, olaknya, arah surut dan pasang ombaknya.
Keduanya, mimpi-mimpi itu mempunyai plot yang sarat dan kompleks, dengan tema yang mendatangkan ketakutan dan rasa panik. 17 tahun dulu ketika aku mula-mula diberi ubat ini, aku selalu bermimpi hantu dan sentiasa terjaga di tengah malam ketakutan. Lama kelamaan bila kerap bermimpi hantu hampir setiap malam, ketakutan itu semakin berkurang. Orang kata alah bisa tegal biasa.
Percaya tak, oleh kerana ketakutan itu semakin berkurang, otakku menukarkan mimpi-mimpi selepas itu kepada perkara lain yang aku takuti selain hantu, yang boleh menghasilkan tahap ketakutan yang tinggi semula.
Sehingga ke hari ini, bila aku bermimpi buruk, jarang ia bertema hantu.
Ketiganya, mimpi-mimpi itu begitu “intense” dan tegang, melangkau kebiasaan pemikiran dan pengalaman di waktu jaga. Contohnya, aku pernah bermimpi berada di suatu bandar yang ditinggalkan, di mana di bandar itu tiada seorang pun yang kelihatan.
Dalam mimpi itu aku cuba mencari jalan keluar dari bandar tinggal itu. Aku cuma berjalan kaki. Sedang aku mencari jalan keluar, hari bertukar mendung dan ku lihat dari arah timur, ada gunung-ganang yang walaupun jauh, kelihatan hampir denganku.
Di sebalik gunung-ganang ini, ada air laut yang hampir sama tinggi dengannya, ombaknya kuat dan airnya sedang meluap-luap seperti ingin tumpah dari gunung-ganang ini.
Aku tahu jika airnya melimpah, bandar itu akan banjir dalam sekelip mata. Jika pusat tertinggi berdekatan bandar itu, iaitu gunung, pun dapat dilepasi oleh air laut yang tinggi itu, ke mana lagi boleh aku selamatkan diri?
Situasinya “intense” dan tegang.
Baru-baru ini, kira-kira dalam beberapa hari selepas dos ubatku dinaikkan, aku bermimpi sesuatu yang pada mulanya menenangkan, tapi kemudiannya bertukar tegang dan menakutkan.
Aku bermimpi aku dan beberapa orang yang ku kenali pergi bercuti dan bersantai di tepi pantai. Pantai ini cantik dan unik. Airnya amat jernih dan hijau. Pasirnya putih bersih.
Bila aku berjalan di pesisir pantai yang luas itu, aku dapati tiada pokok yang kelihatan, tetapi redup. Semakin jauh aku berjalan, pesisiran pantai itu semakin berliku. Kemudian aku terjumpa suatu kolam kecil di tepi pantai, airnya hijau dan jernih. Bila aku menjengah ke dalam, aku nampak ada lubang di dasar kolam itu. Ada orang di dalam lubang itu. Aku terkejut dan cuba kembali mendapatkan rakan-rakanku.
Namun sekembalinya aku, rakan-rakanku tidak kelihatan, air laut yang hijau telah bertukar biru gelap dan keruh. Laut yang terbentang luas di hadapanku tiada garisan penamat, laut dan langit bersambung tanpa garisan pemisah.
Sedang aku cuba mencari-cari garisan pemisahnya dengan mataku, tiba-tiba air laut yang keruh itu bersembur keluar dari suatu garisan pemisah dan berpusu-pusu ke arahku seperti Tsunami. Aku melihat ke kanan dan ke kiri, air yang berpusu-pusu datang dari semua sudut.
Aku ditelan oleh ombak besar dan berpusing-pusing di dalamnya. Ketika itu air laut telah bertukar kelabu, aku dihempas ke pesisir pantai dan air laut surut dari pandangan.
Perkara ini berulang-ulang, air laut datang lagi berpusu-pusu, menelanku, aku berpusing-pusing di dalam keruh air laut itu dan dihempas ke tepian pantai.
Tiap kali ia berlaku, garisan pemisah laut dan langit itu bertukar, berpisah, bercantum, kemudian bertindih seperti melipat.
Ia berulang-ulang sehingga aku terjaga dengan kemuncak anxiety yang tinggi, jantung berdegup kencang.
Mimpi-mimpi ini amat terperinci dan realistik sehingga aku masih boleh mengingati tiap urutan peristiwa dalam kebanyakan mimpi ini dengan jelas sehingga ke hari ini.
Mujur apabila masuk minggu kedua dos ubatku dinaikkan, ketegangan mimpi-mimpi seperti ini semakin berkurangan. Malam tadi aku masih didatangi mimpi yang agak kompleks, tapi tema tegang dan menakutkan itu sudah tiada. Tahap perincian dalam mimpi itu juga sudah berkurang, membuatkan aku sukar mengingati isi mimpi itu walaupun baru berlaku malam tadi.
Sigmund Freud mengatakan bahawa mimpi mengandungi kehendak atau harapan si pemimpi yang tak tertunai di dunia sebenar. Beliau mempunyai teori bahawa mimpi ngeri dan mimpi buruk mengandungi keinginan tersembunyi yang jauh disimpan oleh si pemimpi, atau keinginan yang si pemimpi sendiri tidak sedar akannya.
Carl Jung mengatakan mimpi adalah cara untuk minda kita berkomunikasi dengan diri kita sendiri. Cara untuk minda kita memberitahu kita perkara penting yang kita tak sedar ketika kita berjaga. Menurut Jung, ini adalah cara semulajadi untuk menjaga keseimbangan jiwa si pemimpi.
Menurut Jung juga, mimpi buruk ialah petanda ada sesuatu yang besar yang sedang berlaku dalam diri atau dalam hidup si pemimpi, yang memerlukan perhatian.
Sejauh mana kebenaran semua teori ini, aku tak pasti. Yang pasti, tertutup mata, datangnya lena, kita akan terus bermimpi.