Setelah menukar pakaian kepada pakaian seragam wad dan memberikan pakaian asal ku kepada staff, aku ke ruang hadapan dan duduk di hujung ceruk ruang itu sambil memerhatikan pesakit-pesakit lain di wad psikiatri itu.
Fikiranku ketika itu kacau, serabut. Aku tidak mahu disapa oleh sesiapa. Jumlah pesakit kali ini kelihatan lebih ramai daripada biasa. Itu adalah kali ketiga aku dimasukkan ke wad itu. Jika sebelum ini jumlah pesakit hanya 8 hingga 10 orang pada satu-satu masa, kali ini ada lebih kurang 20 orang kesemuanya.
Tidak jauh di hadapan ku, seorang pesakit menghentak kaki secara beritma seakan mengikut rentak lagu walaupun tiada lagu yang berkumandang.
Aku memerhatikan wajahnya dengan perasaan yang kosong. Sesekali dia mengerling ke arahku, sambil kakinya terus dihentakkan tidak berhenti. Tangannya diangkat sesekali seperti mengira sesuatu dengan jari.
Keesokan harinya, aku duduk di ceruk yang sama. Pesakit itu juga duduk tidak jauh dariku. Kali ini dia tidak menghentakkan kaki, tetapi mengira sesuatu dengan jari. Selang beberapa minit, dia bangun daripada kerusi dan mencium permukaan meja untuk beberapa saat. Kelakuan ini diulanginya tanpa henti. Beberapa kali dia mengerling ke arahku. Kali ini aku melontarkan senyuman kepadanya. Seperti tidak percaya, dia menoleh lagi ke arahku seakan ingin memastikan apa yang dilihat. Aku senyum lagi dan mengangkat kening kepadanya. Kemudian aku bangun untuk ke bilik air.
Ketika aku melintasinya, dia datang kepada ku dengan riak wajah yang teruja. “Hello, kakak,” sapanya tersenyum lebar. Aku mengangguk, juga tersenyum.
Sejak hari itu, aku selalu menyapanya. Aku juga perasan yang dia selalu membetulkan kedudukan barang-barang yang diletakkan di atas meja. Contohnya bila ada pesakit yang meletakkan botol air di atas meja, dia akan merapatkan botol-botol air ini ke tengah meja.
Pernah sekali ketika aku sedang berbual dengan seorang pesakit lain, dia datang ingin membetulkan kedudukan botol air dan bukuku. Tanpa berfikir panjang, aku menghalangnya dan mengatakan tidak mengapa kerana aku ingin botol air itu berdekatan sekiranya aku dahaga.
Aku leka berbual dengan pesakit lain dan pada mulanya aku tidak sedar bahawa pesakit tadi itu kerap datang dan pergi dari meja kami, menarik dan menolak kerusi di situ seakan gelisah. Yang membuatkan aku tersedar akan kelakuannya ialah apabila mukanya mula merah dan aku lihat dia mula menangis. Aku bertanya kenapa dia menangis.
“Tolonglah kakak, kepala saya tak tahan, boleh saya betulkan botol dan buku kakak?” katanya kepadaku merayu, matanya merah.
Aku mula faham dan membenarkan dia menyusun botol air dan bukuku ke tengah meja. Selesai menyusun, pesakit itu berlalu pergi dengan wajah yang lebih tenang.
Hari berikutnya, pesakit itu menjalani rawatan ECT (electroconvulsive therapy). Pesakit yang akan menjalani rawatan ini tidak dibenarkan makan dan minum untuk beberapa jam sebelum rawatan. Selesai rawatan, mereka akan dibiarkan berehat di katil sehingga mereka sedar semula.
Beberapa jam selepas selesai rawatan, pesakit itu datang kepadaku yang sedang duduk di atas lantai.
“Saya sudah mandi belum, kakak?” tanyanya kepadaku.
Aku melihat jam di dinding. Lebih kurang pukul 2.20 petang. “Belum,” jawabku. “Oh, ok,” katanya sambil mengangguk-angguk yakin dengan jawapanku.
Kekeliruan dan hilang memori sementara, fikirku. Tanda-tanda selepas mendapat rawatan ECT. Aku teringat pada seorang pesakit lain yang pernah ku kenali ketika aku berada di wad yang sama sebelum itu. Dia juga mendapat rawatan ECT di wad itu. Dia pernah memberitahuku selepas beberapa hari rawatan, dia masih merasa keliru dan seakan berada dalam mimpi.
Lewat petang itu, aku lihat pesakit tadi duduk diam di sebuah kerusi. Dia tidak menghentak kaki atau mengira dengan jari seperti selalu. Mukanya sugul. Aku mendekatinya dan bertanya jika dia ok.
Sebaik memandang wajahku, matanya mula berkaca. Aku menyentuh bahunya perlahan, cuba menenangkannya.
“Kakak, dia cakap mama saya sudah mati,” adunya kepadaku menangis, sambil menunjuk ke arah seorang pesakit yang sedang tidur.
Aku cuba memujuknya dengan mengatakan mamanya masih hidup dan akan datang berjumpanya esok hari. Serba salah membohonginya begitu.
Lewat petang esoknya, aku dibenarkan untuk pulang. Ketika melangkah keluar dari pintu wad, ku lihat pesakit itu dan ibunya sedang makan dan berbual di sebuah meja bulat di perkarangan wad. Aku tersenyum lega.
“Selamat tinggal, kakak,” teriaknya apabila terlihat ku melangkah pergi dari perkarangan wad. Aku melambai.
“Selamat tinggal,” kataku perlahan, pasti yang dia tidak mendengarnya.