Cerita Hidupku

Mimpi Laila di Wad Psikiatri Forensik: Bahagian 2

Baca Bahagian 1 di sini: Mimpi Laila di Wad Psikiatri Forensik: Bahagian 1

Aku kemudiannya mengucapkan selamat tinggal kepada semua staff di wad itu sambil diiringi oleh dua pegawai polis tadi keluar dari wad. Di luar bangunan, sebuah kereta polis sedang menungguku. Itu adalah kali pertama dalam hidupku menaiki sebuah kereta polis. Canggih juga kereta polis ni, bisik hatiku.

Tepat 9.15 pagi, kami tiba di mahkamah. Ku lihat ahli keluargaku sudah berada di perkarangan mahkamah. Aku dibawa ke suatu ruang menunggu di belakang mahkamah. Di hadapan ruang menunggu itu terdapat bilik yang berjeriji besi. Inilah lokap mahkamah, hatiku mengagak. Ku lihat beberapa orang lelaki berpakaian lokap berwarna ungu dan oren dan juga bergari sedang duduk di dalamnya. Gari yang merantai tangan mereka itu bersambung-sambung antara satu sama lain.

Aku tunduk dan membelek-belek gari yang merantai tanganku sendiri. Tertulis “AFT HANDCUFFS MALAYSIA MODEL #101” dalam huruf besar pada gari itu. Di sebelah lagi, tertera pula lambang Polis Diraja Malaysia. Itu kali pertama aku melihat sepasang gari sebegitu dekat. Masih tidak percaya ia sedang merantai tanganku.

Tidak lama menunggu, aku dipanggil masuk ke dalam mahkamah untuk sebutan kes. Mahkamah kemudiannya mengarahkan untuk aku dimasukkan ke hospital psikiatri atau lebih mesra dipanggil “hospital gila” oleh masyarakat, untuk jangkamasa tidak melebihi 3 bulan bertujuan untuk pemantauan dan penilaian mental di bawah seksyen 342 kanun prosedur jenayah.

Aku akan dihantar ke wad XYZ, detik hatiku. Benar kata pesakit itu. Dadaku mula berdebar, jantungku berdegup kencang. Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada ahli keluargaku, aku dibawa semula oleh 3 orang pegawai polis ke hospital yang sama seperti sebelumnya. Cuma kali ini kami tidak ke wad psikiatri yang ku duduki sebelum ini. Aku dibawa terus ke wad XYZ.

Wad XYZ adalah sebuah wad psikiatri forensik. Letaknya jauh di penghujung hospital. Wad ini menempatkan pesakit-pesakit mental dari pelbagai negeri di Semenanjung Malaysia yang menghadapi pertuduhan jenayah, dari sekecil-kecil kes ke sebesar-besar kes yang boleh membawa kepada hukum gantung seperti kes bunuh dan pengedaran dadah. Hanya mahkamah sahaja yang boleh mengeluarkan arahan untuk pesakit dimasukkan ke sini.

Jika wad psikiatri biasa (atau sivil) yang ku duduki selama 18 hari sebelum ini temboknya tinggi-tinggi, wad forensik ini tembok dan pagarnya berkali lagi lebih tinggi. Pagarnya berlapis-lapis. Di luar pagar ada pagar yang lebih tinggi, memisahkan bangunan wad dengan kawasan lain hospital. Reka bentuknya seakan penjara.

Ku lihat ada semacam wayar yang melingkari pagarnya yang paling luar. Pagar elektrik, fikirku. Ia akan menghasilkan kejutan elektrik bila disentuh, untuk mengelakkan pesakit memanjat dan melarikan diri. Aku menelan air liur.

Pintu utamanya pula seperti pintu masuk ke penjara. Ada sebuah pintu pengesan logam yang perlu dilalui untuk masuk, seperti di lapangan terbang. Beberapa orang anggota polis bantuan menjaga laluan ini.

Aku kemudiannya dikehendaki menjalani pelbagai pemeriksaan seperti pemeriksaan air kencing, pemeriksaan x-ray dari hujung kaki ke bahu untuk memastikan tiada barang yang diseludup masuk ke dalam wad. Tidak cukup dengan itu, pemeriksaan rektum juga dilakukan oleh doktor di situ untuk memastikan tiada barang yang disumbat ke dalam dubur. Malu? Teramat. Aku tak pernah berkahwin, tak pernah melakukan hubungan intim, tiba-tiba diseluk dari bawah seperti itu. Terperanjat pun ada.

Selesai pemeriksaan, aku diiringi pula ke sebuah bilik. Ada lebih kurang 10 orang yang sedang duduk menungguku di dalam bilik itu. Cuma ada sebuah meja seperti meja pejabat. Aku disuruh duduk menghadap meja itu. Di belakangku seorang jururawat masuk mengambil tempat duduknya.

“Siapakah gerangannya mereka ini,” hatiku berkata-kata. Selain jururawat di belakangku itu, mereka yang lain masing-masing bersedia dengan pen dan buku catatan. Ada yang memegang komputer riba. Kaki bersilang.

Wanita di hadapanku memperkenalkan dirinya kepada ku. Pakar psikiatri katanya. Aku tidak begitu mendengar nama yang disebutnya. Diperkenalkan juga seorang lagi wanita di sebelahnya. Namanya mudah tetapi aku tidak begitu mengambil tahu ketika itu. Caranya memandangku agak sinis.

Pakar psikiatri itu bertanya jika aku tahu aku di mana, jika aku tahu kenapa aku berada di situ, dan pelbagai lagi soalan. Wanita di sebelahnya yang aku kira juga seorang doktor, sibuk menulis di dalam sebuah fail yang ku kira ialah fail baruku sebagai pesakit baru di wad itu. Berbeza dengan failku di bahagian pesakit luar dan wad psikiatri sivil sebelum ini yang berwarna merah jambu, fail ini warnanya kuning cair.

Aku memerhatikan wajah kesemua mereka di bilik itu satu demi satu. Seorang lelaki yang duduk agak jauh di belakang ku tersenyum mesra dan mengangkat sedikit tangannya kepadaku. Seorang wanita berkerut kening memandangku.

Bermula dengan soalan-soalan mudah, pakar psikiatri di hadapanku itu kemudian beralih pula kepada soalan-soalan yang lebih berat. Perutku mula rasa memulas bila dia mula menyentuh tentang kejadian tanggal 19 Jun itu. Kemudian aku diminta menceritakan semula kejadian itu satu persatu.

Itu kali kedua aku disuruh menceritakan semula kejadian itu di hadapan orang lain. Aku agak keberatan. Namun pakar psikiatri itu membawa aku perlahan-lahan kembali ke hari kejadian. Aku menjawab satu-satu soalannya dengan agak sukar, namun kemudiannya perasaan lucu yang pernah datang sebelum ini datang lagi dan aku tertawa tak henti. Mereka diam memerhatikanku, membiarkan sahaja aku terus tertawa.

Ku lihat wajah pakar psikiatri yang mulanya tenang sahaja itu berkerut sedikit dan bibirnya mula mengorak senyum yang hambar. Melihatkan itu, aku semakin geli hati. Aku memohon maaf sambil menahan tawa, cuba mengawal diriku sebaik mungkin.

Sebelum menamatkan temubual, pakar psikiatri itu bertanya kepada yang lain jika mereka ada soalan untukku. Beberapa orang yang bersilang kaki itu menggeleng kepala. Seorang wanita yang duduk di belakang pakar psikiatri itu mendengus.

Aku dibawa keluar dari bilik itu dan gari di tanganku akhirnya dibuka oleh pegawai polis yang lama menunggu di luar bilik. Aku sedikit lega, namun pembukaan gari itu hanyalah permulaan kepada belenggu yang bakal ku lalui selama 2 bulan berikutnya.

Aku diiringi oleh beberapa orang jururawat masuk ke ruang wad perempuan. Hanya ada satu sahaja bahagian wad perempuan di seluruh wad psikiatri forensik itu. Selebihnya, iaitu 5 bahagian wad lain, adalah wad lelaki.

Kali pertama melangkah masuk, aku diperhatikan oleh pesakit-pesakit lain yang berada di ruang rehat. Siapakah mereka ini, apakah yang mereka lakukan yang membawa mereka ke sini, fikirku, sambil menepis pandangan tajam mereka.

Aku ditempatkan di sebuah bilik yang tertulis “Bilik 20”. Bilik itu hampir sama reka bentuknya dengan bilik di wad psikiatri sivil yang ku duduki sebelum ini. Bezanya, saiz bilik ini lebih kecil. Bumbungnya dua kali lebih tinggi. Tingkapnya enam panel cermin yang tiada pembuka. Tiga panel daripadanya digelapkan. Bilik ini tiada pendingin hawa, hanya ada kipas.

Kepala katilnya diskru kuat pada dinding, kaki katil pula diskru pada lantai. Mungkin supaya katil itu tidak boleh digerakkan, agakku. Hanya sekeping tilam tidak bercadar yang ada di atas katil.

Di bawah bingkai katil itu ada enam pemegang. Tidak, bukan pemegang, aku membetulkan telahanku sendiri. Ia adalah tempat pengikat. Untuk mengikat pesakit supaya tidak boleh meninggalkan katil. Dadaku berdebar lagi.

Seperti wad psikiatri sivil yang ku duduki sebelum ini, terdapat bilik air tanpa pintu di dalam bilik ini. Aku diberikan tuala dan diarahkan untuk mandi.

Aku tersipu-sipu mandi sambil diawasi oleh beberapa orang jururawat yang berdiri di pintu bilik air memerhatikan ku.

Selesai mandi, aku tersipu-sipu pula menyarungkan baju wad yang diberikan. Sehelai gaun paras lutut. Pakaian dalam tidak dibenarkan. Kesemua pakaian asalku tadi dimasukkan ke dalam sebuah beg plastik berwarna kuning dan dibawa keluar. Aku ditinggalkan sendirian dan pintu bilik dikunci dari luar.

Aku terkebil-kebil melihat sekelilingku. Tiada apa untuk dilihat. Dinding bercat peach cair itu bergarit dan bergores di beberapa tempat.

Ketika mataku sedang liar memeriksa dinding yang kusam itu, pandanganku singgah pada tulisan di bawah tingkap. Aku mendekati panel tingkap dan cuba membaca tulisan itu.

“Kueh tiaw goreng kerang” ditulis dengan goresan yang kasar, seperti menggunakan batu. Tidak jauh di bawahnya, tertulis pula “100 plus perisa oren”.

Aku terkebil-kebil melihat tulisan itu. Kepalaku membayangkan seorang wanita tertunduk khusyuk menggores satu-satu huruf-huruf itu sehingga lengkap. Berapa lamakah masa yang diambilnya untuk menyiapkan satu perkataan? Satu huruf?

Aku berfikir-fikir lagi, kenapa mesti ada kerang? Kenapa mesti perisa oren? Dalam banyak-banyak perkara yang boleh ditulis, kenapa mesti makanan dan minuman?

Lagi satu, kuey teow biasa atau kuey teow basah?

Bersambung…

Tulis Komen Anda

Alamat emel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi semua yang bertanda bintang.