Cerita Hidupku

Mimpi Laila di Wad Psikiatri Forensik: Bahagian 1

Ketika rata-rata rakyat Malaysia sibuk meraikan hari kemerdekaan negara yang ke 66 tahun pada 31 Ogos 2023, aku pula dalam diam meraikan hari kemerdekaanku sendiri. Pada hari itu, aku juga merdeka.

Setelah dikurung di dalam hospital psikiatri selama hampir tiga bulan, akhirnya aku bebas. Merdeka.

Ketika rakyat Malaysia berkobar-kobar menyanyikan lagu-lagu patriotik negara, bait-bait senikata lagu “Layang-layang Terputus Talinya” dendangan kumpulan Alleycats pula yang meniti bibirku, seakan ia antem peribadi kemerdekaanku. Itulah lagu yang kadangkala meniti bibirku ketika aku berbaring menatap kipas yang berpusing di siling ketika keseorangan terkurung di dalam bilikku di hospital psikiatri.

Semuanya bermula pada tanggal 19 haribulan Jun tahun yang sama.

Hari itu matahari cerah menyinar. Aku tiba di klinik psikiatri agak lambat. Cuma tinggal beberapa orang sahaja pesakit yang sedang menunggu giliran. Jam di dinding klinik menunjukkan 12.30 tengah hari. Aku duduk sementara menunggu namaku dipanggil.

Ketika aku dipanggil masuk, klinik telah pun lengang. Aku tidak begitu mengingati perbualanku dengan doktor pakar psikiatri di situ (Doktor Hazelnut) pada hari itu. Tapi aku mengingati bahawa itu adalah hari terakhir doktor pakar itu berkhidmat di klinik itu. Dia sendiri yang memberitahuku sebulan sebelumnya. Dia berbual-bual denganku selama lebih 1 jam, seperti ingin memujuk hatiku yang mudah terguris apabila ditinggalkan.

Ketika ingin memberikan tarikh janji temu seterusnya, dia memberitahu bahawa seorang doktor yang bertugas di klinik itu yang telah ku temui selama lebih setahun di situ (Doktor Peanut) tidak lagi mahu berjumpaku. Doktor Peanut menyatakan pelbagai sebab tidak lagi mahu berjumpaku, setiap satu sebab itu menusuk dan mengguris hatiku dalam-dalam.

Pelbagai emosi secara tiba-tiba bercampur baur mendatangiku, badanku terasa panas dan menggigil. Aku bangkit dari kerusi dan menuju ke bilik Doktor Peanut.

Selebihnya yang berlaku bagaikan mimpi. Fantasi dan realiti seakan bercampur aduk mengelirukanku. Perasaanku janggal.

Aku dihantar ke hospital psikiatri oleh sebuah ambulans. Itu kali kedua aku dimasukkan ke wad psikiatri sivil hospital itu. Perasaanku kosong, badanku letih. Menjelang senja, badanku terasa panas semula. Tanganku menggigil, fikiranku serba tak kena. Seakan tubuhku baru memberikan reaksi di atas apa yang berlaku tadi.

Menjelang malam, mindaku ligat berfikir itu dan ini. Di dalam gelap, mataku terkelip-kelip memandang atas bawah kanan dan kiri, menanti lena yang tidak juga bertamu. Semua yang berlaku masih seperti mimpi yang panjang.

Esoknya awal-awal pagi aku dipanggil untuk bertemu dengan seorang doktor pakar psikiatri yang senior di situ. Aku ditanya soalan-soalan kandid. Aku menjawab laju-laju, sedikit terperanjat dan keliru dengan keterujaanku sendiri apabila ditanya soalan-soalan sedemikian.

Setelah beberapa hari di situ, aku dipindahkan dari ruang utama di bawah pantauan jururawat ke bilik sendiri yang mempunyai kamera litar tertutup. Bilik yang berpendingin hawa dan hanya ada sekeping tilam, bantal, dan selimut. Tiada katil. Langsung tiada tingkap. Seluruh dindingnya dilapik dengan span yang lembut. Mungkin untuk menyerap bunyi jika pesakit menjerit, atau untuk menghalang pesakit menghantuk kepala ke dinding.

Kira-kira malam kedua di bilik ini, barulah kepalaku berani perlahan-lahan meniti semula apa yang terjadi di klinik psikiatri tanggal 19 Jun itu. Untuk pertama kalinya, aku ketawa terbahak-bahak sendirian di dalam bilik itu tidak henti-henti, entah apa yang begitu lucu bagiku. Lucu benar ku rasakan ketika itu.

Namun menjelang hari-hari berikutnya, rasa lucu itu pudar dan hilang. Ketika dua pegawai polis datang untuk merekodkan kenyataanku dan meminta ku menerangkan semula kejadian satu persatu, fikiranku kembali bercelaru, kepalaku pening. Aku berasa loya dibawa semula mengimbau kejadian. Namun pegawai polis berpangkat inspektor yang merekodkan kenyataanku itu amat memahami. Aku tidak dipaksa-paksa atau ditekan-tekan. Aku merasa sedikit lega.

Namun kelegaan itu tidak berpanjangan. Awal minggu berikutnya, doktor pakar yang menjagaku di wad itu bercuti dan aku ditemukan dengan seorang doktor lain. Doktor ini begitu dingin sekali, kata-katanya sinis. Lirikan matanya seakan menghakimiku. Dia tidak mahu membaca nota tulisan ku, tidak mahu mendengar aku bercerita panjang-panjang. Katanya orang lain telah pun “move on”. Aku terasa seperti diusir keluar cepat-cepat dari bilik itu.

Aku keluar dari bilik itu dengan emosi yang tidak stabil dan terus kembali ke bilikku. Di bilikku, aku menangis tersedu-sedan.

“Buat! Buat sekarang!” kepalaku berkata-kata, lagi dan lagi. Mendesak-desak. Lalu pantas ku capai sesuatu di hujung bilik. Ku ambil sesuatu yang lain di luar bilik. Ku bawa semuanya ke bilik air di dalam bilikku itu. Di kepalaku ia terus mendesak-desak.

Sedang sibuk aku mempersiap, dua orang jururawat masuk ke bilikku. Barang-barang di tanganku dirampas, aku dibawa keluar dari bilik. Beberapa orang lagi jururawat datang memeriksa bilikku. Aku menangis di bahu seorang jururawat.

Kemudian aku dibawa ke ruang utama dan ditemani beberapa orang staff. Seorang jururawat datang ingin memberikanku sejenis ubat. Letakkan di bawah lidah, katanya. Aku menolak. Kemudian mereka memegangku beramai-ramai dan mencucuk sesuatu di punggungku. Perlahan-lahan aku merasa lemah dan tertidur.

Semenjak hari itu, aku tidak lagi dibenarkan tidur di bilik. Aku diberikan sekeping tilam setiap malam dan tidur beralaskan tilam di ruang utama di hadapan stesen jururawat. Tiada lagi bantal dan selimut untukku, tiada juga cadar. Lampu juga tidak ditutup.

“Supaya senang kami nak nampak apa awak buat,” jawab seorang jururawat tersengih bila aku bertanya kenapa lampu tidak ditutup. “Ok,” kataku, membalas sengihnya. Pagi-pagi tilamku disimpan semula dalam sebuah bilik yang kemudian dikunci.

Hari-hari yang berikutnya berlalu dengan lebih baik. Aku lebih berselera makan, tidur dengan lebih baik walaupun hanya beralaskan sekeping tilam, bergaul dengan pesakit-pesakit lain dengan mudah. Hampir tiap pagi aku dan seorang pesakit lain menyimpan makanan untuk diberikan kepada burung gagak dan burung tiong yang selalu singgah di luar wad.

Seorang lagi pesakit yang lain pula memberi pinjam kepadaku dua buah buku cerita miliknya untuk dibaca. Pelbagai pesakit keluar dan masuk wad psikiatri itu sepanjang aku di situ. Aku senang berbual dan mendengar cerita mereka.

Hari ke-17 aku di wad itu, doktor pakar psikiatri yang menjagaku memberitahu bahawa kesku telah dibawa ke mahkamah dan aku akan diserahkan kepada pihak polis untuk menghadiri sebutan kes keesokan harinya.

Dadaku sesak. Aku tidak pernah dihadapkan ke mahkamah. Aku tiada rekod salahlaku jenayah. Aku tak pernah berada dalam jagaan polis. Aku warganegara yang patuh. Lampu merah pun aku takut nak langgar. Tali pinggang keledar pun aku takut nak buka ketika memandu.

Melihat aku yang seperti sesak nafas, doktor itu membenarkan aku keluar ke taman di luar wad bersama beberapa orang jururawat. Di situ mereka menenangkanku dan memberikan kata-kata semangat, membuatkan aku terharu.

Keesokan harinya aku disuruh bersiap seawal 6.30 pagi. Aku sempat bersarapan sementara menunggu ketibaan pihak polis. Ketika menunggu, seorang pesakit yang telah bertahun tinggal di wad itu datang duduk di sebelahku.

“Kau akan digari,” katanya kepadaku. Aku tersentak. Entah kenapa aku tidak terfikir tentang itu sebelum itu. Aku sedikit berdebar.

“Selepas itu kau akan dihantar ke wad XYZ,” sambungnya lagi.

“Mana kau tahu?” tanyaku ingin tahu. Aku pernah mendengar tentang wad XYZ. Aku pernah melihat papan tanda penunjuk arah ke wad XYZ di hospital itu. Aku tahu wad XYZ bukannya wad psikiatri biasa. Aku tahu wad XYZ bukan tempat keluar masuk pesakit-pesakit biasa. Debaranku sedikit memuncak.

“Aku pernah melaluinya,” jawab pesakit di sebelahku itu.

Aku menarik bahu pesakit itu dan membawanya ke tepi tingkap. Di situ aku bertanya pelbagai soalan kepadanya.

“Jangan bimbang, kau tak akan lama di situ,” katanya seperti ingin memujukku.

Tepat 8.30 pagi, dua orang pegawai polis masuk ke stesen jururawat dan aku dipanggil. Benar seperti yang dikatakan oleh pesakit tadi, salah seorang pegawai polis itu mengeluarkan sepasang gari. Dia bertanya kepada jururawat jika aku agresif. Beberapa orang jururawat menafikannya, dan aku digari dari arah hadapan.

“Kalau agresif, kita gari dari belakang,” kata pegawai polis itu.

Bersambung…

Baca bahagian 2 di sini: Mimpi Laila di Wad Psikiatri Forensik: Bahagian 2.

 

Tulis Komen Anda

Alamat emel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi semua yang bertanda bintang.