Aku dilahirkan dalam sebuah keluarga yang biasa-biasa sahaja. Didikan agama juga biasa-biasa sahaja. Boleh juga dikatakan didikan agama tidak begitu ditekankan dalam keluargaku. Hanya ayahku sahaja yang kerap solat sepanjang aku membesar, itu pun disertai oleh upacara yang pelik-pelik, seperti membakar kemenyan di tikar sejadah, membakar setanggi di seluruh rumah di waktu maghrib, dan banyak lagi. Ayahku juga menyimpan pelbagai tangkal yang disampul dengan kain kuning. Ibuku pula teramat jarang untuk dilihat menunaikan solat ketika aku membesar.
Ketika usiaku lebih kurang 7 atau 8 tahun, aku dan kakakku mula berminat menanam pokok sayur dan pokok bunga di tepi rumah. Atukku yang ku panggil Tok Bah, iaitu bapa kepada ibuku, pernah mengajar aku dan kakakku mentera untuk dibaca sebelum menanam pokok. Katanya untuk menyeru jin tanah. Aku dan kakak duduk di atas tanah sambil membaca mentera sebelum menanam pokok.
Aku belajar solat di sekolah, tetapi tidak solat bila di rumah. Aku mula mengerjakan solat 5 waktu apabila aku masuk ke sekolah berasrama di usia 13 tahun. Di sekolah, pelajar diwajibkan berjemaah di surau setiap kali waktu maghrib, isyak, dan subuh. Hanya waktu zohor dan asar dilakukan di dorm. Aku jadi terbiasa menunaikan solat cukup 5 waktu.
Tapi semua ini lebih kepada rutin harian sahaja. Aku mula-mula merasa kemanisan sebenar beribadah pada usia 15 tahun ketika ingin menghadapi peperiksaan besar PMR. Tahun itu ramai kawan-kawan yang kerap bangun malam untuk solat sunat bagi memohon keputusan cemerlang daripada Tuhan.
Melihatkan itu, aku juga memasang azam untuk bangun solat sunat, tujuannya tidak lain dan tidak bukan semata-mata untuk meminta keputusan cemerlang, itu sahaja.
Maka bermulalah rutin baruku. Bangun 2 atau 3 pagi, membasuh baju di bilik basuh, keringkan, sidai, kemudian solat tahajud, hajat, dan baca Quran.
Di waktu inilah aku mula merasa suatu ketenangan yang tak pernah aku rasa sebelum itu. Bukan sahaja tenang, malah itu adalah tahun yang paling gembira dalam hidupku. Doaku di waktu itu mudah saja dimakbulkan Tuhan.
Setelah habis peperiksaan PMR, aku mula malas untuk bangun malam. Perlahan-lahan aku mula meninggalkan solat-solat sunat dan hanya menunaikan yang wajib sahaja. Aku juga perasan doaku mula sukar dimakbulkan Tuhan.
Masuk tingkatan lima, tahun untuk menghadapi peperiksaan besar SPM, aku cuba untuk melakukan solat sunat semula. Tapi entah kenapa amat liat kali ini untuk aku bangun malam. Aku lakukan solat sunat tapi tak sekerap mana, dan aku tidak temui ketenangan itu lagi.
Masuk ke universiti, aku semakin lalai dalam beribadah. Solat 5 waktu pun ada yang tinggal. Solatku sentiasa di hujung waktu. Laju-laju, tahu-tahu dah selesai lipat telekung.
Tahun berganti tahun. Ibadahku semakin berkurang. Kurasakan aku semakin jauh dari Tuhan.
Sehinggalah aku jatuh kemurungan teruk pada tahun 2011 setelah berhenti mengambil ubat. Sebagai manusia yang alpa, aku kembali mencari tikar sejadah. Meminta-minta daripada Tuhan apabila susah, merayu-rayu apabila inginkan sesuatu. Apabila hidupku semakin susah, aku mula menyalahkan Tuhan. Aku mempersoal itu dan ini kepada Tuhan.
Solatku masih terasa kosong semakin kesihatanku stabil. Aku masih tercari-cari ketenangan yang pernah kutemui di usia 15 tahun itu. Jauh di sudut hatiku, aku rindu. Namun seakan ada tembok besar yang memagar jiwaku, mengeraskan hatiku.
Aku bermohon, Ya Allah, kau runtuhkanlah tembok yang memagar jiwaku ini agar aku dapat dekat kepada-Mu. Namun tembok itu tetap di situ. Tahun demi tahun, ia masih di situ.
Sehingga penghujung tahun 2021 apabila sekali lagi aku ditimpa kemurungan yang teruk. Semuanya bermula dari jadual tidur yang terganggu. Kemudian melarat kepada insomnia, penyakit langsung tak boleh tidur malam, terkebil-kebil mata memandang siling, berkalih ke kanan ke kiri berjam-jam tanpa juga lena.
Kemudian ayahku meninggal dunia dalam peristiwa yang tragik. Dengan mental yang masih tidak stabil, aku membersihkan lautan darah yang membanjiri bilik tidurnya ketika kakakku dan ibuku bergegas ke wad kecemasan mengusung ayahku. Aku mengutip serpihan kaca yang bertaburan di lantai sambil airmata tidak berhenti mengalir.
Aku menjual bisnes dan assetku dan tenggelam lebih jauh dalam lautan kemurungan.
Aku tahu inilah sebaiknya waktu untuk aku mendekatkan diri dengan Tuhan. Di saat hati dan jiwa teramat goyah, bukankah yang terbaik ialah mengadu kepada Tuhan?
Lalu aku kuatkan semangat untuk solat malam semula. Aku cuba memperbanyakkan amalan. Aku lebihkan bersedekah, aku cuba bersihkan hati, aku cuba jauhkan diri dari dosa. Namun tembok yang mengeraskan hatiku itu masih juga di situ.
Aku bangkit dari katil pada pukul 5 pagi untuk solat sunat, baca Quran, dan kemudian terus menunaikan solat subuh. Pada mulanya hanya sekali sekala, kemudian setiap hari jika tidak uzur.
Aku tetap tidak menjumpai ketenangan itu. Semua amalan itu sekadar rutin harian yang kosong. Aku penat.
Dalam pada itu, mentalku semakin sengsara. Aku semakin kerap bertemu doktor pakar psikiatri, aku semakin kerap keluar masuk wad psikiatri.
Aku cuba beberapa kali memulakan bisnes baru, semuanya tak menjadi. Aku bersedekah dan menunaikan zakat, tetapi rezekiku semakin sempit.
Kesihatanku semakin teruk. Aku sentiasa lemah dan lelah, sentiasa pening seperti mahu pitam. Aku kerap terpaksa mengubah pemakananku untuk menangani masalah ini.
Aku mula meragui amalanku. Aku mula tersenyum hambar bila orang berkata “bersedekah akan meluaskan rezeki”. Atau bila orang memetik ayat dari Surah Al-Insyirah yang bermaksud “Sesungguhnya bagi tiap kesukaran itu akan ada kemudahan”.
Masa terus berlalu disaat aku masih terumbang-ambing mengatur semula langkah kehidupan, mencari kedamaian jiwa yang sudah lama hilang.
Dengan mudah, tahun berganti tahun begitu sahaja. Kemurunganku masih tidak beransur pulih. Siang malam aku berdoa agar dianugerahkan kesembuhan. Sebaliknya, ia semakin parah. Sedar tak sedar, sudah lebih dua tahun aku hanya bergantung hidup dengan wang simpanan yang semakin susut.
Ku pohonkan kemudahan, namun kesukaran yang ku terima. Satu demi satu nikmat yang diberikan kepadaku ditarik balik oleh Tuhan. Aku hilang nikmat tidur. Aku hilang nikmat kegembiraan. Aku hilang nikmat untuk bekerja dan menyara hidupku sendiri. Aku hilang nikmat pelbagai makanan, kerana banyak makanan yang membuatkan aku semakin lesu dan terhuyung-hayang.
Aku hanya banyak terbaring di katil sehari-hari, lemah lesu walaupun tidak melakukan apa-apa.
Aku mula meragui perancangan Tuhan untukku. Aku mula bertanya, apakah yang Kau inginkan dariku?
Beberapa kali aku berdiri di tepi jambatan yang berbeza-beza, hampir terpedaya dengan bisikan syaitan yang mengatakan itu adalah penyelesaian kepada segalanya. Bisiknya, itu sahaja cara untuk menamatkan semua kesengsaraan dunia.
Setiap kali aku ke jambatan, bisikan itu semakin bertambah kuat, dan aku semakin hampir untuk melakukannya.
Namun, setiap kali itu jugalah aku dihentikan oleh bayangan api neraka dan siksaan kubur. Aku membayangkan kesengsaraan yang bersambung setelah aku mati. Jika aku tak mampu menghadapi sengsara dunia yang telah ku huni berpuluh tahun ini, adakah aku mampu berhadapan dengan siksaan di akhirat yang kekal selama-lamanya itu?
Aku membayangkan penyesalan yang tidak berkesudahan di dalam kubur setelah mati, meminta-minta pula dari Tuhan untuk kembali membetulkan kesilapan di dunia.
Namun seakan Tuhan masih belum selesai mengujiku. Nikmatku ditarik lagi, sehingga aku tidak mampu keluar rumah. Berjalan satu dua meter pun aku tercungap-cungap mencari nafas, jantung berdegup laju. Badan seperti diikat dengan batu bata bertan-tan, berat dan sakit. Aku tahu aku sudah tidak berdaya meneruskan hidup sehari-hari sebegini.
Hujan terus turun setiap hari, air bertakung di sana sini. Di dalam hujan lebat aku menangis semahu-mahunya, bertanya kepada Tuhan masihkah ada harapan untuk aku sembuh, kerana sekecil-kecil harapan juga semakin lama kelihatan semakin malap.
Aku sedar aku sudah kehabisan kudrat. Tapi aku juga tidak mahu menyambung sengsara ini dengan siksaan kubur yang lebih dahsyat. Aku tiada pilihan.
Lalu kata-kata seorang doktor pakar psikiatri yang pernah merawatku terngiang-ngiang semula di telingaku. Katanya, setelah habis usaha dan ikhtiar, masih ada satu lagi perkara yang boleh dilakukan. Iaitu belajar menerima. Acceptance.
Aku mula mempersoal diriku sendiri. Benarkah kau berlapang dada menerima apa yang telah Tuhan putuskan untuk kau? Benarkah kau percaya pada takdir dan ketentuan Tuhan?
Jika kau benar-benar berlapang dada menerima semua qada’ dan qadar Tuhan, kau tak akan melihat semula masa lalu dengan perasaan kesal. Kau tak akan mempersoalkan “Apakah yang akan terjadi jika aku membuat keputusan yang berbeza?” atau, “Jika tidak kerana perkara ini, penyakit ini, atau ubat ini, hidupku pasti lebih baik dan teratur”.
Kerana inilah qada’ dan qadar Tuhan untuk dirimu.
Aku mula melihat pada doa-doaku selama ini. Aku melihat pada kehendakku, cita-citaku, impian dan perancangan hidupku. Sebahagian besarnya ialah berpaksikan dunia.
Bila merancang sesuatu, aku mahu ia tercapai. Bila tak tercapai, aku kecewa, malah terkadang berkecil hati dan berburuk sangka pada Tuhan. Tak ubah seperti anak kecil yang memaksa-maksa dibelikan permainan, menangis dan mengamuk jika kehendak tidak dituruti.
Bila hilang satu nikmat, aku meminta-minta nikmat itu dikembalikan semula. Tidak benar-benar memahami bahawa nikmat-nikmat itu boleh ditarik, diberikan semula, ditarik lagi pada bila-bila masa sahaja, kerana semua itu adalah pinjaman, dan Allah jualah yang memilikinya.
Lalu teringat pula suatu perkongsian di media sosial tentang perbezaan antara sabar dan redha. Ia mengatakan “sabar” itu bermaksud seseorang itu masih terus bertahan tetapi masih mahu sembuh dan mendapat semula nikmat yang pernah dirasai sebelum itu.
“Redha” bermaksud seseorang itu tidak lagi mendesak-desak untuk sembuh, tidak lagi mengimpikan nikmat-nikmat yang pernah dirasai sebelumnya, kerana dia telah menemui “nikmat” di dalam kesusahan dan kesakitannya itu.
Pertama kali aku melihat perkongsian itu, aku berkata, siapa yang tak mahu sembuh? Ada ke wujud orang sebegitu? Semua orang pasti ingin sembuh.
Namun kini aku mula memahaminya.
Bila satu demi satu nikmat mula ditarik oleh Tuhan, hidup di dunia mula hilang keseronokannya.
Tanpa keseronokan hidup yang boleh melalaikan, tanpa kemewahan dan kebahagiaan untuk dicanang, kita mula menunduk ke bumi dan merendah diri. Mula pudar cinta pada dunia. Kita dipaksa memikirkan perkara yang tak pernah kita fikirkan.
Perlahan-lahan, aku merasakan tembok besar yang memagar jiwa dan hatiku sekian lama itu mula tumbang sedikit demi sedikit.
Kenapa kadangkala terlalu mudah untuk kita lupa untuk bersyukur? Kerana nikmat itu di hadapan mata, nikmat itu nyata dan dirasa sehari-hari, nikmat itu telah menjadi perkara yang biasa. Nikmat itu tidak dirindui melainkan setelah ia hilang.
Semakin banyak nikmat yang dianugerahkan Tuhan, semakin seronok hidup di dunia. Bayangkan rasa kek tapak kuda Nutella yang lembut dan cair di mulut. Keropok lekor dan pisang goreng cheese leleh yang sedap sehingga menjilat jari.
Hebatnya nikmat di dunia.
Hebatnya itu boleh dilihat, dirasa, disentuh, didengar, dihidu.
Jika sebegini hebatnya nikmat dunia, bagaimana pula nikmat syurga?
Jika inilah caranya Tuhan meruntuhkan tembok yang mengeraskan hatiku, membawaku kembali dekat kepada-Nya, aku redha.
Perlahan-lahan aku mula redha melepaskan nikmat dunia untuk nikmat yang lebih besar di akhirat. Maka perlahan-lahan, datang pula suatu ketenangan dalam diriku. Dalam kesukaran ini, aku menemui suatu “nikmat”.
Aku sedar perjalanan di dunia masih lagi panjang. Aku sedar hatiku boleh berbolak-balik.
Oleh sebab itu, aku jadi takut untuk sembuh sepenuhnya. Aku jadi takut pada nikmat-nikmat dunia yang boleh melalaikan. Aku takut nikmat-nikmat itu membuatkan aku mencintai dunia lebih dari akhirat, membawaku jauh dari Tuhan.
Teringat pula maksud Surah Al-Asr yang berbunyi, “Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh.”
Terasa betapa ruginya jika sisa-sisa hidupku masih dihabiskan dengan perancangan keduniaan, masih mengira-ngira harta dunia, meletakkan harga diri dan nilai kejayaan pada wang ringgit dan kekayaan. Pada seberapa banyak mata yang memerhati. Pada pujian-pujian yang kosong.
Aku takut menjadi antara manusia yang berada dalam kerugian.
Lalu aku mengubah doaku. Jika dulunya aku meminta Tuhan memberikanku kesembuhan, kini aku memohon agar Tuhan mengurangkan sakitku cukup untuk aku boleh menyara semula hidupku agar tidak membebankan orang lain. Bermohon agar Tuhan mengizinkan untuk aku merasa gembira semula, walau sedikit. Bermohon agar Tuhan sentiasa mengingatkanku di saat ku mula alpa.
Mungkin perjalananku masih jauh, dan sesungguhnya aku masih takut. Aku berharap tulisan ini mampu mengingatkan ku di masa hadapan, ketika hatiku berbolak-balik.
Aku tidak mahu putus asa pada rahmat Allah. Aku tak mahu tenggelam dalam keseronokan dunia.