Bicara Mentalquiet road at night

Gelisah Tak Boleh Duduk Diam Kerana Ubat Psikiatri Aripiprazole?

Beberapa minggu yang lalu, aku diberikan ubat baru. Aripiprazole nama ubat itu. Juga dipasarkan dengan jenama Abilify. Ubat yang aku dapat membawa nama “Arian”, ubat generik Aripiprazole. Ubat ini diberikan kepadaku sebagai ubat tambahan kepada ubat yang sememangnya ku ambil setiap hari. Fasa percubaan, sama ada sesuai atau tidak denganku.

Tapi bukan itu yang aku nak ceritakan di sini. Sehari selepas mengambil ubat ini pada waktu pagi, aku mula perasan yang aku mula buat perkara yang tak biasanya aku buat. Aku memang jarang buang kotak-kotak ubat-ubat yang aku terima. Kebanyakannya aku letakkan sahaja di sebuah rak. Sehari selepas mula mengambil Aripiprazole, aku dengan sendirinya menyusun tiap kotak-kotak itu bertiga-tiga dan ku sellotape dia elok-elok bertiga-tiga macam tak dah tak ada kerja lain dah nak buat. Sedar tak sedar aku hanyut menyusun kotak-kotak itu di rak tersebut. Separuh jalan baru aku bertanya kepada diriku sendiri, “Dah yang kau ni dah kenapa…?”. Aku diam sebentar, tapi kemudian terus menyusun kotak-kotak itu sehingga selesai. Habis sudah cerita di situ.

Setelah beberapa hari mengambil ubat Aripiprazole ini, aku mula tak dapat tidur. Sebelum itu pun tidurku memang tak lena dan selalu terjaga setiap beberapa jam setiap malam. Tapi bila mengambil ubat Aripiprazole, aku hanya boleh tidur satu atau dua jam sahaja setiap malam. Itu tak pelik juga bagiku. Yang peliknya, kepala aku aktif berfikir itu ini, dan badan juga rasa aktif mahu melakukan sesuatu, tidak mahu duduk diam di atas katil.

Beberapa malam aku keluar dari rumah dan berjalan kaki mengambil angin di tengah malam sendirian. Bosan berjalan, malam berikutnya pula aku dah mula pasang pancing. Buat tiga batang pancing, carikan umpan cacing, letakkan di parit berdekatan rumahku. Aku bukanlah penggemar tegar ikan-ikan air tawar, tapi aku cuma seronok memancing saja. Malam pertama aku dapat 2 ekor belut. Aku tak pernah makan belut, tapi aku tetap seronok kerana pancingku mengena. Pukul tiga, empat pagi ketika jiran tetangga mungkin sedang diulit mimpi, aku seronok memancing di bawah cahaya lampu jalan berwarna oren. Dan aku bukanlah kaki pancing.

Perkara ini bukan terjadi pada waktu malam sahaja. Pagi-pagi selepas solat subuh, aku sudah mula mencari-cari kerja untuk dilakukan. Habis rumah ku kemas, habis alas meja ku tukar dengan kertas dinding lekat-lekat tu. Nampak sahaja matahari keluar, aku ke rumah ibuku pula mencari kerja untuk diselesaikan.

Pada mulanya aku seronok kerana banyak kerja yang dapat aku sudahkan. Namun ketidakcukupan waktu tidur membuatkan aku mula relapse dan perasaan sedih yang melampau datang semula bertalu-talu. Tapi aku masih gelisah dan tak boleh duduk diam untuk jangkamasa yang lama.

Dipendekkan cerita, aku dimasukkan ke hospital daerah X selama satu malam. Ubat Clonazepam ditambah untuk meredakan kegelisahanku. Pada mulanya ianya berhasil. Tetapi kemudiannya aku tidak boleh tidur semula walaupun sentiasa mengantuk, dan masih gelisah tak boleh duduk diam. Dua minggu kemudian, ketika menunggu giliran berjumpa doktor di klinik psikiatri, aku mula rasa tak senang duduk. Aku perlu bergerak. Aku tak boleh duduk sahaja sambil menunggu. Sedar tak sedar, aku sudah di atas salah satu tiang di perkarangan klinik. Dipendekkan cerita, aku diberikan suntikan dan segera dihantar oleh ambulans ke wad psikiatri pada waktu itu juga. Maka ke dalam lagilah aku. Ubat Aripiprazole ku ditukar kepada Brexpiprazole (Rexulti).

Perlu diingatkan bahawa ini adalah pengalaman aku sahaja sebagai seorang individu. Reaksi setiap orang terhadap pelbagai ubat-ubatan adalah berbeza-beza. Dengar nasihat doktor anda dan pharmacist berkaitan ubat yang anda ambil. Lain kali aku cerita kisah Brexpiprazole pula, ubat mahal yang perlukan tandatangan pengarah hospital.

1 komen / Tulis komen anda di bawah

Tulis Komen Anda

Alamat emel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi semua yang bertanda bintang.