Bicara Mental

Apa Tanda Orang Nak Bunuh Diri Dan Cara Membantu Mereka?

Maaf tajuk ini agak berat. Aku pun berat hati, berat jari nak menulis perihal bunuh diri. Tapi memikirkan mungkin ia boleh membantu mengenali tanda-tanda awal seseorang itu mempunyai niat untuk membunuh diri dan mungkin boleh menyelamatkan mereka, jadi aku rasa ingin berkongsi pengalaman dari kaca mata seorang pesakit.

Di luar sana banyak dikongsikan mengenai topik ini dari perspektif perubatan dan profesional, tapi bagaimana pula dari perspektif seorang pesakit atau seseorang yang pernah mempunyai niat untuk membunuh diri? Apa yang aku tuliskan di sini bukanlah mewakili kesemua orang yang pernah merasa ingin bunuh diri, kerana setiap orang itu mempunyai fikiran dan rasa yang berbeza-beza, situasi juga berbeza-beza, hanya mereka yang tahu apa yang mereka rasa dan lalui. Jadi aku sekadar boleh menulis melalui pengalaman sendiri, dan pengalaman berbicara dengan orang lain yang juga pernah mempunyai perasaan ingin bunuh diri. Maaf jika ada kekurangan dan kesilapan.

Ringkasan Tanda-tanda Orang Nak Bunuh Diri:

  1. Menunjukkan rasa sedih/marah/gusar yang berlebihan berbanding biasa.
  2. Menunjukkan ketenangan dan perubahan positif yang mendadak.
  3. Menulis surat atau meninggalkan pesanan kepada orang-orang tertentu.
  4. Banyak berdiam dan menerima semuanya tanpa banyak soal.
  5. Membuat persiapan atau persediaan untuk sesuatu yang besar.

1. Menunjukkan rasa sedih/marah/gusar yang berlebihan berbanding biasa.

Dalam erti kata lain, mood dan emosi yang amat tidak stabil dan boleh dilihat dari luaran. Bila keadaan sekeliling berterusan memberikan tekanan tanpa nampak seperti ada ruang untuk perubahan, seseorang boleh mencapai had tekanan mereka dan ini boleh mengakibatkan emosi yang berlebihan yang sukar dikawal, seterusnya mendatangkan kecenderungan untuk membunuh diri untuk keluar dari tekanan yang melampau tersebut.

Aku sendiri bila berada pada tahap ini, biasanya pertimbangan itu amat kurang, kurang kemampuan untuk berfikir secara waras. Semua keputusan yang dibuat pada tahap ini adalah terburu-buru dan dibuat berlandaskan emosi yang membuak-buak. Ada fikiran seperti “Rasakan! Bila aku mati baru semua orang tahu!”, merujuk kepada perasaan geram dan benci terhadap orang sekeliling dan ingin “mengajar” mereka dengan kematian si empunya diri, atau perasaan ingin “menunjukkan” kepada orang sekeliling kesengsaraan yang dihadapi si empunya diri.

2. Menunjukkan ketenangan dan perubahan positif yang mendadak.

Mungkin orang sekeliling boleh tersalah tanggapan dan merasa gembira dengan perubahan positif seseorang itu, tapi perubahan positif yang berlaku secara mendadak berikutan emosi yang amat tidak stabil sebelumnya, boleh dikira sebagai petanda.

Perubahan ini boleh terjadi apabila seseorang itu tidak nampak jalan keluar dari masalah atau situasi yang dihadapi, dan apabila mereka akhirnya melihat kematian sebagai jalan keluar, mereka mula merasa semacam suatu kelegaan kerana kesengsaraan dan tekanan yang mereka alami akan berakhir tidak lama lagi. Ini membuatkan si empunya diri merasa lebih tenang dan secara tidak langsung mempamerkan perubahan yang disalahertikan sebagai perubahan yang positif.

Bagi sesetengah orang yang berada dalam kemurungan yang hebat, kematian seolah-olah seperti pemujuk diri. Dari perspektif minda yang tidak dapat berfikir dengan waras seperti ini, kematian adalah penamat kepada kesengsaraan.

Aku pernah berada dalam situasi ini, di mana perasaan putus asa kemudiannya diikuti oleh perasaan pasrah, perasaan pasrah diikuti oleh perasaan rela melepaskan semuanya. Bila aku bersedia melepaskan segala-galanya di dunia ini (impian dan harapan, perasaan/emosi terhadap manusia lain, ikatan pada segala hal dunia, harta benda, perhubungan sesama manusia), maka datang suatu perasaan tenang yang semacam luar biasa. Mungkin kerana selepas melepaskan semua dari fikiran, kepala menjadi kosong dan menjadi lebih tenang. Perlu diingatkan bahawa ini adalah pemikiran yang datang dari minda yang tidak sihat, yang hanya melihat penyelesaian dari sudut tidak rasional.

3. Menulis surat atau meninggalkan pesanan kepada orang-orang tertentu.

Tidak semua orang akan menulis surat atau nota bunuh diri apabila mereka merancang untuk membunuh diri. Bagi mereka yang menulis surat atau nota bagi tujuan ini, ada yang tidak mahu mendatangkan syak wasangka orang sekeliling dan cuba menulis dengan isi kandungan yang tidak mudah mendatangkan syak wasangka. Ada juga yang memilih untuk meninggalkan pesanan kepada orang-orang tertentu dengan alasan mereka akan “pergi jauh” atau mereka akan “berehat buat seketika” atau “berehat panjang” supaya orang sekeliling tidak mengesyaki mereka akan membunuh diri.

Amati dan perhatikan isi kandungan surat yang mereka tulis dan pesanan yang mereka tinggalkan, cuba baca maksud sebenar yang tersirat daripada kata-kata yang mereka sisipkan itu. Contohnya, jika mereka tiba-tiba menulis surat meminta maaf atau mengatakan mereka menyayangi anda, mungkin ini adalah petanda yang patut diberikan perhatian.

4. Banyak berdiam dan menerima semuanya tanpa banyak soal.

Bila hati sudah tiada pada dunia yang berada di hadapan mata, mungkin seseorang itu merasakan seperti sudah tidak perlu untuk bertelagah atau bertikam lidah dengan orang sekeliling mereka untuk mempertahankan sesuatu. Bagi mereka pada tahap ini, tiada gunanya mempertahankan apa-apa lagi kerana semua di dunia ini sudah tiada maknanya. Bagi mereka, sama ada mereka membantah atau menerima, tiada bezanya kerana mereka telah “bersedia” untuk “pergi”.

Jika seseorang yang sebelum ini banyak membantah dan bertengkar namun secara tiba-tiba lebih banyak berdiam dan menerima sahaja semuanya tanpa banyak soal, mungkin ia adalah petanda mereka mungkin mempunyai perancangan yang perlu diselidiki.

5. Membuat persiapan atau persediaan untuk sesuatu yang besar.

Kematian adalah suatu pengakhiran yang tidak boleh diundur semula. Oleh sebab itu seseorang itu mungkin akan dilihat melakukan persiapan/persediaan untuk “sesuatu yang besar” sebelum melakukan percubaan membunuh diri.

Persiapan yang dimaksudkan di sini termasuklah mencari cara yang paling “sesuai” untuk membunuh diri, membeli atau mendapatkan barang-barang yang bakal digunakan untuk tujuan tersebut, merangka tarikh dan tempat perkara itu bakal dilakukan, dan juga menguruskan hal berkaitan sekiranya kematian itu benar-benar berlaku.

Sebagai contoh, mereka mungkin mahu memastikan anak-anak mereka selamat dan berada di bawah jagaan orang yang betul setelah ketiadaan mereka nanti, oleh itu tindakan yang cuba diambil mungkin adalah dengan melantik peguam menguruskan wasiat, pembahagian harta, hak penjagaan anak, dan sebagainya. Mereka mungkin juga secara tiba-tiba mencari-cari tempat untuk meninggalkan haiwan peliharaan mereka, atau memberikan haiwan peliharaan mereka kepada orang lain.

Jika seseorang itu kelihatan seperti sedang melakukan persiapan untuk sesuatu yang besar dan anda tak pasti persiapan itu untuk apa, mungkin ini adalah petanda yang perlu diberi perhatian serius.

Cara Anda Boleh Membantu

Wujudkan persekitaran yang positif dalam kehidupan harian mereka

Jika anda orang yang berada secara langsung dalam kehidupan harian mereka yang mempunyai potensi untuk membunuh diri, anda boleh membantu meringankan tekanan mereka dengan cuba mewujudkan persekitaran yang lebih positif dalam kehidupan harian mereka. Fikirkan apa yang anda boleh cuba ubah untuk menghasilkan persekitaran yang lebih positif itu. Perubahan perlukan masa, namun sebaiknya mulakan dengan perkara-perkara yang kecil untuk mula melihat kesannya.

Berkomunikasi dan mendengar dengan baik apa yang mereka katakan

Anda juga boleh cuba berkomunikasi secara baik dengan mereka. Berikan mereka peluang untuk bercakap. Cuba dengari apa yang mereka ingin perkatakan. Jangan memaksa jika mereka tidak mahu bercakap, ia hanya akan menambahkan tekanan kepada mereka. Jangan memperkecilkan apa yang mereka hadapi walaupun ia kelihatan seperti perkara yang kecil bagi anda. Jangan membandingkan diri anda dengan mereka. Kadangkala, mendengar dan mengiyakan apa yang mereka katakan sahaja sudah cukup untuk sedikit sebanyak melegakan tekanan mereka.

Bertanya apa yang anda boleh bantu

Jika anda tidak tahu apa yang anda patut katakan dan apa yang anda boleh bantu, tidak salah jika anda bertanya kepada mereka, contohnya, “Kau OK tak? Ada apa-apa yang kau nak aku tolong tak? Aku boleh tolong belikan makanan kalau kau tak rasa nak keluar”. Dengan bertanya seperti ini boleh menunjukkan kepada mereka masih ada orang yang ambil tahu tentang mereka. Keprihatinan anda terhadap mereka juga mungkin boleh membuka ruang untuk mereka mula bercerita dan sedikit sebanyak memberikan mereka kelegaan daripada tekanan yang dihadapi.

Sentiasa berada disamping mereka atau dekat dengan mereka

Biasanya mereka yang ingin membunuh diri merasakan diri mereka terpinggir, atau mereka merasa berseorangan menghadapi tekanan yang dilalui. Mereka merasakan seperti tidak ada tempat untuk mengadu, tiada sesiapa yang bersama mereka dalam kesukaran yang mereka hadapi.

Cara yang terbaik untuk membantu mereka ialah sentiasa berada dekat dengan mereka, sama ada secara fizikal atau mental. Jika anda tidak mampu untuk sentiasa berada di samping mereka secara fizikal, cuba tunjukkan pada mereka yang anda sentiasa “dekat” dengan mereka dengan sentiasa menghubungi mereka, bercakap dengan mereka melalui telefon atau aplikasi telefon pintar dan sebagainya.

Jika anda mengesyaki mereka berpotensi untuk mencederakan diri, jangan tinggalkan mereka, jangan biarkan mereka berseorangan. Temani mereka sehingga mereka bertenang. Hubungi talian kecemasan untuk tindakan selanjutnya.

Tulis Komen Anda

Alamat emel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi semua yang bertanda bintang.