Santai

Tak Sunyi Ke Masih Single?

Berstatus single di usia 20-an ialah sesuatu yang biasa, baik perempuan atau lelaki. Bila usia dah naik ke angka 30-an dan ke atas, ada orang keliling yang dah mula nak membawang. Walaupun ada tuan punya badan yang ok ok sahaja, mulut-mulut orang keliling yang tak boleh nak ditutup atau ditapis kadang-kadang pun boleh buat si tuan punya badan rasa tak selesa dan cepat-cepat nak cari jodoh.

Semakin lanjut usia, semakin ternampak ada yang pandang sedikit menyerong. Mulalah ada yang bertanya, tak sunyi ke? Tak sepi ke? Takkan nak single sampai ke tua?

Bagus juga bertanya, selebihnya ada juga yang terus buat tanggapan sendiri. “Oh, memilih sangat, tu yang masih tak kahwin lagi tu.”

Pun begitu, bukan semua orang suka membawang. Ada juga yang tak kisah, tak mahu ambil tahu, dan tak pernah bertanya pun. Zaman teknologi ini ramai juga yang tidak ambil pusing soal hidup orang lain. Bagus juga begitu.

Ada juga yang senyap, tapi dalam diam merasa simpati pada orang single kerana berat jodoh. Lain orang lain pula pandangannya, tanggapannya.

Tapi suatu perkara yang selalu aku lihat, ialah, kehidupan “single” selalu dikaitkan dengan “kesunyian”. Orang kata orang single hidup sorang-sorang, mati sorang-sorang. Antara sebab terpopular orang-orang tua menyuruh orang bujang berkahwin dan mempunyai anak ialah supaya bila tua nanti ada orang jaga.

Kalau tiada anak siapa mahu jaga? Nanti di hantar ke rumah orang tua-tua. Orang Melayu paling takut bila sebut rumah orang tua-tua. Anak yang menghantar ibu bapa ke rumah orang tua-tua terus dicop sebagai anak derhaka. Tiada kata dua.

Anak-anak yang membiarkan ibu atau bapa terkapai-kapai seorang diri tanpa dijenguk bertahun-tahun pun masih ada maafnya, asalkan tidak di hantar ke rumah orang tua-tua.

Mungkin di fikiran sesetengah orang, rumah orang tua-tua hanya untuk andartu dan bujang terlajak yang hidup sebatang kara. Jadi orang paling takut hidup sebatang kara. Bila single, maka sebatang kara lah orang itu.

Ada orang single yang tak sanggup hadapi stigma besar ini sehingga menjadi tekanan, ada juga yang terpaksa berkahwin dengan pasangan tangkap muat walaupun di hati tiada cinta, demi untuk mengelak stigma ini.

Stigma ini semakin besar kalau yang single tu perempuan. Ya lah, perempuan umur 45 pun dah boleh menopaus, berbeza dengan orang lelaki. Lelaki umur 70 pun masih boleh ada zuriat. Tekanannya juga berbeza di atas sebab ini.

Semua senario ini membuatkan aku terfikir. Kenapa orang begitu cepat menganggap bahawa bila seseorang itu kelihatan bersendirian maka sunyilah dia. Mungkin juga ada yang lebih selesa bersendirian? Mungkin ada yang sengaja memilih masa untuk bersendirian?

Kenapa orang yang single dianggap mengkasihankan? Seperti hidup mereka tidak lengkap selagi mereka tidak berumahtangga. Kenapa hidup seseorang hanya dikira lengkap bila mereka sudah berumahtangga dan mempunyai anak?

Berkahwin atau single, semuanya ada bahagian masing-masing, ujian masing-masing. Ada pasang dan surutnya. Kehidupan yang kelihatan lengkap pada mata masyarakat secara umumnya, belum tentu sempurna di dalamnya. Hakikatnya tiada kehidupan yang sempurna walaupun telah mencapai piawaian kebahagiaan yang ditetapkan oleh masyarakat.

Single atau berkahwin, ada anak atau tiada anak, usahlah dijadikan kayu pengukur kebahagiaan seseorang. Mengejar kebahagiaan dengan berkahwin pun ok, mengejar kebahagiaan cara lain pun ok. Kesunyian tak semestinya ubatnya ialah dengan berumahtangga. Tapi kalau seseorang tu nak berumahtangga supaya tak sunyi pun itu pilihan masing-masing. Itu cara orang tersebut mencari bahagianya. Terpulang pada diri masing-masing. Yang pasti kita semua bakal diadili di akhirat kelak.

Live and let live.

Sekadar coretan santai di petang hari. Wassalam.

Tulis Komen Anda

Alamat emel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi semua yang bertanda bintang.