Bicara Mentalhospital psikiatri malaysia

Senarai Hospital Sakit Jiwa di Malaysia

Aku ada berkongsi pengalaman dimasukkan ke dalam wad di sebuah hospital sakit jiwa di negara ini. Boleh baca di pautan ini jika berminat. Ada komen di Facebook yang mengatakan beliau tertanya-tanya di manakah hospital yang diceritakan olehku itu.

Tidak perlulah aku sebutkan di mana, tapi hospital sakit jiwa di Malaysia sebenarnya boleh dikira dengan jari.

Melayari laman-laman web dan laman-laman sosial, aku dapati ramai juga yang tidak berapa tahu tentang hospital-hospital sakit jiwa di Malaysia ini.

Ada juga yang menyangkakan kesemua hospital yang ada menawarkan perkhidmatan rawatan mental itulah yang dipanggil “hospital sakit jiwa” atau hospital psikiatri.

Sebenarnya, di seluruh Malaysia cuma ada EMPAT buah sahaja yang dipanggil hospital sakit jiwa atau hospital psikiatri atau juga institusi mental, iaitu hospital yang dibina untuk pengkhususan rawatan mental. Kesemua hospital ini ialah hospital milik kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau Ministry of Health (MOH).

Selebihnya ialah hospital-hospital perubatan yang mempunyai jabatan/unit psikiatri yang menyediakan perkhidmatan rawatan mental atau psikiatri kepada pesakit. Hospital-hospital perubatan yang menawarkan rawatan psikiatri ini merangkumi hospital swasta (private) dan juga kerajaan (public). Ada juga hospital kerajaan tanpa unit psikiatri yang menawarkan rawatan psikiatri, yang mana doktor-doktor pakar datang dari hospital berdekatan ke klinik pakar secara berkala untuk bertemu pesakit. Klinik-klinik psikiatri swasta juga banyak di negara ini.

Selain itu, KKM (MOH) juga ada mewujudkan pusat rawatan mental komuniti (Mentari) untuk meluaskan capaian masyarakat kepada rawatan mental.

Pendek kata, capaian rawatan mental di negara kita hari ini boleh dikatakan tidak mengecewakan. Boleh pilih swasta atau kerajaan mengikut keperluan, kehendak, dan kemampuan masing-masing.

Untuk kes-kes tertentu di mana pesakit dimasukkan ke hospital psikiatri di atas perintah mahkamah, pesakit akan dirujuk ke salah satu daripada empat buah hospital psikiatri dalam senarai di bawah bergantung pada kedudukan logistik.

Ini dia empat buah institusi mental atau hospital sakit jiwa di Malaysia:

#1. Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak Darul Ridzuan.

Hospital Bahagia Ulu Kinta Perak
Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Ini adalah hospital sakit jiwa yang paling besar dan paling lama wujud di Malaysia. Merupakan hospital sakit jiwa terawal dan paling terkenal di negara ini.

Keluasan asal kira-kira 500 hingga 600 ekar. Mula dibina pada zaman penjajahan British oleh kerajaan British, dan siap dibina pada tahun 1911. Dahulunya dikenali sebagai Hospital Tanjung Rambutan. Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Ulu Kinta yang berkeluasan 41 ekar juga telah dibina di atas tanah ini.

Hospital Bahagia Ulu Kinta juga menjadi tempat rujukan bagi kes-kes dari negeri Perak, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, dan Wilayah Persekutuan.

#2. Hospital Permai Johor Bahru, Johor Darul Takzim.

Hospital Permai Johor Bahru
Hospital Permai Johor Bahru, Johor.

Ini adalah hospital sakit jiwa kedua terbesar di Malaysia. Juga merupakan hospital sakit jiwa yang paling lama selepas Hospital Bahagia Ulu Kinta. Siap dibina pada tahun 1937.

Keluasan asal kira-kira 600 ekar, namun hanya kira-kira 100 ekar digunakan untuk pembinaan. Dahulunya dikenali sebagai Hospital Tampoi. Kini telah berpindah ke bangunan baru di Kempas. Bangunan lama sebahagiannya diambil alih oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).

Hospital Permai Johor Bahru juga menjadi tempat rujukan bagi kes-kes dari negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, dan Kelantan.

#3. Hospital Sentosa Kuching, Sarawak.

Hospital Sentosa Kuching Sarawak
Hospital Sentosa Kuching, Sarawak.

Hospital ini adalah hospital sakit jiwa ketiga yang dibina di bawah kerajaan British. Perancangan pembinaannya telah bermula sebelum merdeka, dan siap dibina pada tahun 1958. Keluasan asal kira-kira 46 ekar. Menjadi hospital rujukan bagi kes-kes psikiatri dari seluruh negeri Sarawak.

#4. Hospital Mesra Bukit Padang, Sabah.

Hospital Mesra Bukit Padang Sabah
Hospital Mesra Bukit Padang, Sabah.

Hospital sakit jiwa ini siap dibina pada tahun 1971 selepas Malaysia terbentuk, berbeza dengan hospital sakit jiwa lain di negara ini yang mula dibina di bawah kerajaan British.

Keluasan asal kira-kira 100 ekar, namun hanya kira-kira 40 ekar sahaja yang dibangunkan. Menjadi tempat rujukan bagi kes-kes dari seluruh negeri Sabah.

Hospital-hospital ini juga menyediakan latihan dan terapi kerja untuk pesakit, membantu mendapatkan pekerjaan dan tempat tinggal bagi pesakit-pesakit yang telah stabil, dan sebagainya. Rawatan pesakit luar dengan temujanji berkala juga diberikan kepada pesakit-pesakit yang tidak memerlukan penempatan di dalam wad.

Tulis Komen Anda

Alamat emel anda tidak akan dipaparkan. Sila isi semua yang bertanda bintang.