Assalamualaikum dunia.
Di bahagian pertama tulisan ini aku ingin bercerita serba sedikit tentang zaman kanak-kanakku. Zaman yang separuh memorinya masih ku ingati, separuhnya ku simpan dalam-dalam.
Di bahagian kedua pula akan ku ceritakan kesilapanku dalam menangani kisah silamku.
Aku berharap sedikit sebanyak kesilapanku ini dapat menjadi pengajaran kepada yang lain.
Bahagian I
Aku dilahirkan dalam keluarga yang sederhana. Kami tinggal di atas tanah milik ayahku. Tanah kurnia, gelaran yang diberikan oleh adik beradik ayahku.
Kenapa tanah kurnia? Kerana tanah ini diberikan kepada ayahku tanpa sebarang bayaran, oleh seseorang yang tiada pertalian darah dengan kami, kerana ayahku pernah menjaga tanah ini untuk pemiliknya tanpa meminta apa-apa.
Ketika aku kecil, cuma ada tiga rumah lain yang agak berdekatan dengan rumah kami. Rumah yang terdekat berjarak kira-kira 200 meter. Suasana yang sunyi ialah latar belakang hidupku ketika membesar. Sehingga kini aku lebih selesa suasana yang sunyi berbanding hiruk pikuk kota.
Tapi kesunyian juga boleh membingitkan.
Kesunyian membuatkan minda lebih ligat berfikir. Melangkau apa yang tidak patut dilangkaui. Mempersoal yang tidak patut dipersoal.
Zaman kanak-kanakku kelihatan biasa-biasa sahaja dari luaran. Tiada yang tragik atau istimewa. Kami tak pernah perlu bercatu makanan walaupun rumah kami buruk dan daif.
Lantai rumah kami bukan simen atau kayu. Tanah merah ialah lantai rumah tempat kami berpijak sehinggalah aku bersekolah rendah.
Bumbung rumah kami sentiasa bocor. Ayah lapiskan dengan tikar getah, tapi selalunya bocor lagi dan lagi. Bila hujan turun, baldi bersusun di dalam rumah menadah air hujan. Bila ayah ada sedikit wang, barulah dilapiskan dengan zink baru. Ayah lapiskan sahaja sebab tiada peruntukan untuk ganti semua sekaligus.
Kadang-kadang bila hujan amat lebat beserta angin kuat, lapisan zink ini terbang dan air bercucuran masuk ke dalam rumah. Pernah aku dan ayah menahan bumbung bocor yang hampir roboh sehingga hujan berhenti, badan kami menggigil basah kuyup.
Kenangan ini aku anggap sebagai kenangan manis aku bersama ayah. Kenangan yang masih membuatkan aku mengalir air mata merindui ayah.
Ayah orangnya tidak terlalu banyak bicara. Tidak pernah memukul, tidak pernah marah. Jika ayah marah, ayah hanya akan diam. Jika ibu naik hantu, ayah juga tidak berani bersuara. Dirinya selalu dikorbankan untuk orang sekelilingnya.
Aku ada basikal yang ayah belikan untuk ke sekolah. Biru warnanya. Basikal Rally. Lama ayah mengumpul duit untuk beli.
Di waktu kecil, adakalanya aku mengharap ibu dan ayah berpisah, kerana aku sudah membuat keputusan untuk mengikut ayah. Perkahwinan ibu dan ayah kekal berpuluh tahun sehingga ayah menghembuskan nafas terakhir di pangkuanku di awal tahun lalu.
Keluarga kami tidak bercerai berai. Tiada kejadian tragik yang berlaku sepanjang aku membesar. Oleh itu aku sering rasa bersalah bila aku tidak merasa gembira.
Ibuku tidak suka mendengar orang merengek mengadu itu ini. Katanya hidupnya lebih keras dari kami semua. Anak-anaknya dididik dengan kekerasan sebagaimana dia sendiri dididik oleh ibunya.
Abang sulung ku mempunyai sedikit kelebihan, dia merupakan cucu kesayangan datukku di sebelah ayah. Barang permainannya dibelikan oleh datukku. Basikalnya dibelikan datukku. Kemahuannya sering dituruti datukku sehingga dia remaja.
Datukku itu kembali ke rahmatullah sebelum aku bersekolah rendah, dan abangku kemudiannya meninggalkan rumah untuk tinggal dengan makcikku.
Sebahagian besar masa kecilku hanya ada aku dan kakak. Kakak tidak sepertiku. Kakak orangnya periang dan mesra dengan orang. Kakak bijak akademik. Kakak aktif bersukan. Kakak ketua kelab beruniform. Kakak pengawas. Kakak pelajar terbaik. Kakak disenangi guru-guru di sekolah.
Aku awkward. Aku tidak pandai beramah tamah, tidak pandai menonjolkan diri, tidak suka menyandang jawatan. Kakiku serupa kaki bangku, aku tidak pandai bersukan. Akademik ku biasa-biasa sahaja. Aku bukan pelajar pilihan.
Kami selalu dibanding-bandingkan oleh guru-guru di sekolah. Kata-kata seperti “Awak tak macam kakak awak” kerapkali diucapkan padaku sehingga aku merasa tertekan. Aku bak hidup di balik bayang-bayang orang lain. Tidak dibenarkan untuk menjadi diriku sendiri.
Ibu juga begitu. Kerap membanding-bandingkan aku dan kakak. Bila kata-kata itu keluar dari mulut ibu, entah kenapa, ia lebih menyakitkan daripada bila ia diucapkan oleh orang lain.
Ibu suka bercerita tentang kakak kepada tetamu, kepada jiran tetangga, kepada teman-temannya, kepada saudara mara. Kakak wakil bola jaring sehingga ke peringkat negeri, kakak menyertai persatuan silat sehingga ke dada akhbar.
Bila kakak masuk ke sekolah berasrama penuh yang terkemuka di negara ini, semakin galak ibu bercerita kepada orang tentang kakak. Itu sahaja yang keluar dari mulutnya bila dia berbicara.
Aku tiada tempat di mulut ibu. Ceritaku tidak menarik. Ceritaku tidak membanggakan. Tunggul kayu pun mempunyai cerita yang lebih menarik dari ceritaku.
Makcik pakcik juga turut berbangga dengan kakak. Bila ada majlis keramaian dan semua berkumpul, kakak ditanya bermacam-macam, semua ingin tahu kisahnya di asrama. Kisahnya juga bermacam-macam, aku juga terhibur mendengarnya.
Aku tiada cerita sebegitu.
Ceritaku biasa. Ceritaku membosankan. Tiada siapa ingin mendengar cerita yang membosankan.
Jadi aku terbiasa menyimpan cerita. Terbiasa menyimpan semuanya sendiri.
Setelah kakak masuk ke sekolah asrama, tinggal aku sendirian menghadap marah dan baran ibu. Sudahlah tidak membanggakan, degil pula.
Aku suka memasuki bilik tidur abangku waktu ketiadaannya. Bilik abangku penuh dengan kaset cetak rompak dan speaker yang besar-besar.
Aku suka memasang kaset-kaset abangku dan menyalin senikata lagu-lagu yang berkumandang. Muzik dan lagu menjadi pengganti ketiadaan barang permainan di waktu kecilku.
Ibu tidak suka aku masuk ke bilik abang mendengar lagu. Ibu tidak suka aku bermain kaset. Lebih-lebih lagi jika rumah berserak. Mengemas rumah ialah tanggungjawab ku kerana ibu bekerja. Ibu akan naik hantu. Ibu selalu naik hantu. Hantu pun boleh jadi takut dengan ibu.
Kebanyakan masa, aku merasakan seperti aku sentiasa bersendirian, tiada siapa di sisiku ketika aku memerlukan. Cuma di sekolah sahaja aku ada kawan. Di rumah aku sentiasa bersendirian. Makan sendirian, bermain sendirian, belajar sendirian, tidur sendirian, pergi balik sekolah sendirian.
Aku lebih suka bersama kawan-kawan di sekolah.
Aku jadi benci dengan majlis keramaian keluarga. Aku semakin janggal bertemu saudara mara. Aku akan merasa berdebar-debar dan takut dihakimi kerana tidak pandai menyesuaikan diri.
Aku tiada cerita yang menarik untuk diceritakan. Aku tidak pandai mengambil hati orang. Aku mula merasakan seperti setiap gerak geri ku diperhati dan dinilai. Orang terus berkata aku tidak seperti si polan dan si polan. Diriku seperti ditolak dan dipaksa menjadi si polan dan si polan. Aku penat. Aku benci bertemu saudara mara.
Aku memasuki sekolah berasrama bila usiaku mencapai 13 tahun. Tingkatan satu. Bukanlah asrama penuh seperti kakakku, sekadar sekolah asrama harian biasa sahaja, kerana keputusan peperiksaan ku juga biasa-biasa sahaja.
Aku gembira tinggal berjauhan dari keluarga. Aku lega tidak perlu lagi menghadap pukul bantai dan baran ibuku. Apabila berjauhan dari keluarga, sedikit demi sedikit hatiku mula menjauh dari mereka. Aku temui keselesaan pada kawan-kawan, keselesaan yang tidak ku temui daripada keluargaku sendiri.
Hidupku dipenuhi kawan-kawan. Aku jadi tidak suka pulang ke rumah. Mindaku memberitahuku yang aku akan bersedih tiap kali pulang ke rumah. Jadi aku sebolehnya akan mengelak pulang ke rumah. Perkara ini berlarutan sehingga aku memasuki universiti.
Ketika di universiti, aku hanya pulang ke rumah sekejap-sekejap. Jumaat malam mengambil bas ekspres, awal pagi Sabtu tiba di rumah, kemudian Ahad pulang semula ke universiti.
Aku berada di rumah sekadar menjenguk orang tuaku, dan berlalu pergi sebelum sempat apa-apa kemungkinan perkara yang boleh menyedihkan berlaku, sebelum apa-apa kata yang menyedihkan sempat dilontarkan.
Aku sukakan perjalanan jauh berjam-jam di dalam bas ekspres. Aku pulang hanya untuk menikmati perjalanan jauh itu.
Seperti ada sesuatu pada perjalanan yang jauh. Seperti merasa suatu kebebasan bila aku berada di atas jalan yang luas tiada penghujung. Tiada awal dan tiada akhirnya. Terkadang aku berharap perjalanan itu tidak akan berakhir, bas ekspres itu tidak akan berhenti. Terus laju menyusur tanpa destinasi.
Di universiti, aku hidup seperti orang lain. Di luaran, aku orangnya ceria dan suka melawak. Tapi di sebalik semua itu, aku tahu mentalku perlahan-lahan merudum kerana masih ada sesuatu yang berbekam di sudut hatiku yang paling dalam.
Aku hampir membuat keputusan untuk berhenti dan menghilangkan diri.
Namun aku berjaya juga menghabiskan pengajian di universiti dengan tambahan satu semester.
Bahagian II
Beberapa perkara berlaku kemudiannya dan biarlah aku ringkaskan, aku melalui usia 20an dengan mencuba untuk memaafkan orang-orang tertentu dalam hidupku. Cuba melupakan kisah silam.
Aku kembali kepada keluarga dan merasakan aku sudah berdamai dengan masa lampau yang telah lama berlalu. Aku perbaiki hubunganku dengan keluarga. Aku kirakan aku sudah matang. Aku kirakan aku tidak lagi terkesan oleh perkara remeh dari zaman kanak-kanak.
Aku menutup buku. Aku memaafkan dan tidak mahu berpaling lagi. Apa yang sudah berlalu biar berlalu. Zaman kanak-kanakku tidak ku ungkit lagi. Tidak ku sentuh. Tidak ku ceritakan. Ku tutup elok-elok.
Perasaan yang pernah ku rasai di zaman kanak-kanak, aku simpan jauh-jauh di penjuru kotak fikiran, ku cuba lupakan. Ku anggap ia tidak lagi penting, tidak lagi relevan.
Masuk ke usia 30an, masa silam sudah jauh ku tinggalkan di belakang. Aku yakin aku hanya ada masa depan untuk diberi perhatian. Kalau pun sesekali teringat, aku abaikan dengan mengatakan ia telah berakhir.
Walaupun aku kemudiannya mengalami beberapa episod kemurungan, aku tetap tidak mengungkit kembali zaman kanak-kanak ku. Zaman itu bagiku sudah berlalu dan berkubur.
Betapa aku silap.
Masa silam yang tidak pernah ku beri perhatian yang sewajarnya itu kembali menghantuiku di kemudian hari.
Luka lama yang kelihatan seperti telah sembuh itu ternyata masih bernanah dalam senyap. Luka yang sama itu rupanya masih sakit. Masih mampu mengembalikan perasaan dendam bila diusik. Masih mampu merobek-robek jiwaku bila disentuh dan dikorek semula.
Sungguh aku tidak menyangka.
Orang kata “masa” adalah penyembuh terbaik segala luka. Untuk sembuh dan pulih dari luka yang parah memerlukan masa. Tiada siapa yang memberitahuku masa yang diperlukan itu mungkin juga adalah “selama-lamanya”.
Ia membuatkan aku sedar bahawa aku tidak akan boleh lari dari masa silam. Zaman kanak-kanak itulah yang membentuk diriku hari ini, sama ada yang baik atau sebaliknya.
Cara berfikirku hari ini mula dibentuk sedari zaman kanak-kanakku. Cara aku menangani situasi dalam hidupku hari ini juga berkait rapat dengan cara aku dibesarkan dan dididik di waktu kecil.
Aku selalu ditinggalkan di waktu kecil, aku selalu bersendirian, ceritaku tidak didengari, aku tidak dihargai sebagai diriku sendiri dan dipaksa menjadi orang lain. Aku sering tergapai-gapai mencari dahan berpaut dan dibiar mengharungi semuanya sendirian.
Sebagai seorang dewasa, aku masih takut ditinggalkan.
Aku tidak kisah bersendirian. Aku boleh tinggal seorang diri. Aku lebih selesa begitu. Aku juga selesa ke sana sini seorang diri. Tetapi melihat seseorang melangkah pergi dariku, contohnya ketika aku sedang bercakap, boleh membuatkan aku rasa amat sakit dan pedih yang berlebihan.
Aku masih takut dihakimi oleh orang sekeliling.
Aku masih takut dinilai dan ditolak.
Kata-kata yang memberi tanda aku bakal ditolak atau ditinggalkan akan membuatkan aku beremosi dan tersinggung berlebihan. Walaupun kata-kata itu rasional. Walaupun kata-kata itu profesional.
Ralat dalam cara aku berfikir dan menangani sesuatu situasi itu membuatkan hidupku kucar kacir. Emosiku berlebih-lebihan. Mentalku tidak mudah stabil.
Semuanya berakar umbi dari kisah silam zaman kanak-kanak yang ku sangkakan telah lama ku lepaskan.
Kerana ia tidak pernah dibincangkan. Ia tidak pernah diperkatakan semula. Tidak pernah diteliti di mana silapnya.
Kerana aku menyangka yang lepas biarlah lepas.
Ternyata “melepaskan” hanyalah langkah pertama dalam seribu langkah untuk pulih.
Aku mula faham. Bila aku memalingkan muka dari akar umbi permasalahan sebenar, iaitu masa laluku, aku hanya mencipta suatu benteng yang memisahkan masa kini dengan masa lalu.
Aku di masa kini yang kononnya sudah matang, sudah tidak terkesan dengan hal remeh, akan cuba bertindak secara matang, mengawal emosi secara matang.
Tetapi tidak ku sedar bahawa benteng yang ku bina itu amat rapuh, dan ia boleh tumbang di waktu yang paling tidak terjangka olehku.
Bila benteng yang rapuh itu mula tumbang, semuanya bercampur menjadi satu. Masa lalu dan masa kiniku bercampur baur dan mengelirukan ku.
Ibuku garang dan bengis. Tapi kini dia semakin tua dan tidak sekuat dahulu. Garangnya sudah hilang entah ke mana. Wajahnya adakala amat mengkasihankan. Lupanya semakin menjadi-jadi. Lemahnya sebagai seorang tua mula kelihatan.
Tak mungkin ini orangnya yang mengakibatkan kepahitan dalam hidupku. Tak mungkin ini orangnya yang membantaiku setengah mati. Tak mungkin ini orangnya.
Keluargaku baik-baik sahaja, bukan?
Mindaku keliru.
Aku masih cuba untuk memahami situasiku, fikiranku, hatiku. Mungkin aku berhenti di sini dahulu, menulis tentang ini sahaja sudah membuatkan badanku rasa serba tak kena, mindaku bercelaru.
Seperti ku katakan, pemulihan ialah perjalanan yang jauh. Aku masih sedang meniti perjalanan itu.
Bukan tempatku untuk memberikan nasihat. Tapi biarlah cerita dan kesilapanku ini menjadi panduan untuk yang lain. Kita tak akan dapat lari dari masa silam, kerana walaupun pahit, ia tetap serpihan yang penting dalam hidup kita, yang mencorak tindak tanduk kita tanpa kita sedari. Sekian sahaja dulu.
Wassalam.